DATARAN MERDEKA, 27 Julai 2025 — Dianggarkan 500,000 rakyat berhimpun di ibu negara semalam dalam satu himpunan gergasi Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar, anjuran Pemuda Perikatan Nasional dengan sokongan gabungan parti politik pembangkang, badan-badan bukan kerajaan, kumpulan aktivis dan persatuan mahasiswa. Himpunan ini bertujuan mendesak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, meletakkan jawatan atas dakwaan kegagalan tadbir urus, kelemahan ekonomi, kegagalan pelaksanaan reformasi dan tidak menepati janji.
Peserta yang berpakaian serba hitam membawa sepanduk bertulis “Turun Anwar” hadir dari seluruh pelosok negara. Penganjur menganggarkan kehadiran mencapai 500,000 rakyat yang kecewa dengan kerajaan hari ini. Himpunan berlangsung secara aman dengan kawalan keselamatan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Beberapa tokoh politik pembangkang menyampaikan ucapan lantang, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengkritik pentadbiran Anwar sebagai gagal menunaikan janji kepada rakyat. “Anwar sudah mengecewakan rakyat. Negara perlukan pemimpin baharu,” tegas Mahathir. Pengerusi Perikatan Nasional, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyelar kerajaan atas kegagalan mengurus kos sara hidup dan keutamaan ekonomi yang disifatkan sebagai tersasar.
Namun, himpunan tersebut menerima kritikan daripada pemimpin kerajaan yang dahulunya juga aktif berdemonstrasi. Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan perhimpunan itu tidak mencerminkan suara sebenar rakyat, walaupun kebanyakan ramai rakyat yang hadir adalah bukan dari latar politik. Persatuan mahasiswa dan pelbagai latar aktivis masyarakat turut hadir dan menyuarakan ketidakpuasan hati dalam himpunan ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam reaksinya menegaskan bahawa himpunan tersebut tidak memberi kesan langsung kepada pentadbiran dan menyeru agar rakyat menggunakan saluran pilihan raya sebagai medan sebenar perubahan. “Kalau nak tukar kerajaan, tunggu pilihan raya,” katanya. Himpunan ini mencerminkan penolakan rakyat yang semakin kuat terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
