DANG WANGI, 30 Julai 2025 – Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham mendakwa bahawa penahanan 2 orang ahli sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU semalam iaitu Furqan Hakimi dan Syafiq Aziz, susulan penyertaan mereka dalam Himpunan “Turun Anwar” pada 26 Julai dilakukan atas arahan Menteri Dalam Negeri.
Dalam satu kenyataan yang dibuat di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi malam tadi, YB Hilman Idham menegaskan bahawa penahanan rakan-rakan seperjuangannya bukan atas kehendak Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi didakwa atas arahan dari pihak atasan.
“Saya tahu bahawa Polis Diraja Malaysia tidak ingin menahan sahabat kami, tetapi penahanan mereka adalah atas arahan Menteri Dalam Negeri,” kata YB Hilman Idham di hadapan kira-kira 100 penyokong yang hadir menyatakan solidariti.
“Tolong sampaikan kepada Menteri Dalam Negeri – lebih ramai sahabat kami ditangkap, lebih cepat kerajaan kamu akan kami tumbangkan,” tegasnya dengan lantang, disambut sorakan penyokong muda yang berkumpul.
YB Hilman Idham turut menyifatkan penahanan itu sebagai cubaan untuk menakut-nakutkan gerakan anak muda yang semakin lantang bersuara terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Kebangkitan anak muda baru sahaja bermula. Sebab itu mereka cuba menakut-nakutkan kita. Dia tangkap sahabat kita untuk menakut-nakutkan sahabat kita dan anak-anak muda yang lain.”
Dalam nada keras, beliau turut memberi amaran kepada pihak berkuasa agar tidak mengenakan reman ke atas mereka yang ditahan.
“Saya beri amaran – jangan reman sahabat kami. Malam ini kami balik, esok kalau kamu reman sahabat kami, kami akan bawa lebih besar dan berkhemah di IPD Dang Wangi ini.”
Difahamkan, lebih 100 orang penyokong hadir malam tadi dalam himpunan solidariti yang berlangsung secara aman, namun tegang dengan laungan “Bebas Kawan Kami” dan “Turun Anwar”.
