PENAHANAN LAGI DUA ARMADA BERKAIT HIMPUNAN ‘TURUN ANWAR’ CUBAAN KERAJAAN TAKUTKAN RAKYAT – ARMADA BERSATU MALAYSIA

DANG WANGI, 29 Julai 2025 – Penahanan dua ahli ARMADA BERSATU, Furqan Hakimi dan Syafiq Aziz, susulan penyertaan mereka dalam Himpunan “Turun Anwar” pada 26 Julai lalu telah mencetuskan gelombang kecaman dari pelbagai pimpinan sayap pemuda parti itu, termasuk desakan agar Akta Hasutan 1948 dan undang-undang yang dianggap ‘drakonian’ dimansuhkan segera.

Furqan Hakimi, yang juga Setiausaha Kerja ARMADA BERSATU Negeri Perak, ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Penahanan beliau dilabel sebagai tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan oleh Ketua ARMADA Negeri Perak, YB Syed Lukman Hakim, yang menyifatkannya sebagai cubaan kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat, khususnya golongan muda yang berani bersuara.

“Ini bukan sahaja penindasan terhadap individu, tetapi satu isyarat jelas bahawa kerajaan sedang berusaha membungkam kebangkitan rakyat,” tegas beliau dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, ARMADA BERSATU Bahagian Padang Terap turut meluahkan keprihatinan mendalam terhadap penahanan tersebut. Ketua ARMADA BERSATU Bahagian, Muhammad Faiz Ahmad Tajudin, menegaskan bahawa penyertaan anak muda dalam perhimpunan aman adalah satu bentuk kesedaran politik yang sihat dan harus dilindungi, bukan dihukum.

“Kami menuntut pembebasan segera kedua-dua ahli ARMADA BERSATU yang ditahan serta penjelasan telus daripada pihak berkuasa. Sekiranya tiada pelanggaran undang-undang, mereka wajar dibebaskan tanpa syarat,” katanya.

Tambah beliau, ARMADA BERSATU Padang Terap juga bersedia memberikan bantuan guaman kepada ahli yang terlibat, demi memastikan hak dan kebajikan mereka terbela.

Tindakan pihak berkuasa membuat tangkapan tanpa asas kukuh dilihat sebagai bentuk intimidasi politik yang semakin tidak wajar dalam negara demokrasi. Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan turut menggesa agar kerajaan menunaikan janji pilihan raya lalu untuk memansuhkan undang-undang seperti Akta Hasutan, yang dilihat sering disalahguna untuk menyekat suara pembangkang.