ARMADA BERSATU JOHOR SOKONG PENDIRIAN HILMAN BATALKAN JEMPUTAN TRUMP: “MAQASID SYARIAH BUKAN ALASAN MENYAMBUT PENINDAS UMAT” – HARITH LOKMAN

MUAR, 7 Oktober 2025 — ARMADA BERSATU Johor menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham, yang menentang jemputan rasmi kerajaan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Malaysia sempena Mesyuarat ASEAN hujung bulan ini.

Naib Ketua ARMADA BERSATU Johor merangkap Ketua ARMADA Bahagian Muar, Saudara Harith Lokman menegaskan bahawa kehadiran Trump bukan isu peribadi atau diplomatik semata-mata, tetapi menyentuh maruah dan prinsip umat Islam seluruh dunia. Beliau menyifatkan langkah menyambut tokoh yang secara terbuka menyokong dan mendanai rejim Zionis Israel sebagai satu pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan dan perjuangan rakyat Palestin.

“Saya menghormati pandangan Mufti Wilayah Persekutuan yang mengaitkan isu ini dengan maqasid syariah, namun tafsiran itu perlu diperhalusi semula. Sedangkan antara tujuan maqasid itu sendiri ialah memelihara agama, nyawa, maruah dan kemuliaan insan. Bagaimana mungkin kita meraikan individu yang menindas umat Islam atas nama maqasid?” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Beliau menegaskan bahawa menolak kezaliman dan mempertahankan umat tertindas merupakan sebahagian daripada maqasid syariah yang sebenar. Katanya, prinsip Islam tidak membenarkan umatnya tunduk kepada penindasan atas alasan diplomasi atau kepentingan politik sempit. “Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan sampai prinsip dan akidah menjadi korban atas nama toleransi yang tidak berpaksikan kebenaran,” ujarnya.

Sebelum ini, Hilman Idham dalam kenyataan rasmi ARMADA BERSATU Malaysia mengecam keras penahanan sukarelawan Global Sumud Flotilla oleh tentera Zionis Israel dan menggesa kerajaan Malaysia membatalkan jemputan rasmi terhadap Donald Trump. ARMADA BERSATU menyifatkan langkah tersebut sebagai penghinaan terhadap rakyat dan maruah negara, selain bertentangan dengan pendirian Malaysia yang memperjuangkan kebebasan Palestin.

ARMADA BERSATU Johor turut mengulangi seruan agar Malaysia berpendirian tegas di pentas antarabangsa, memimpin suara ASEAN dalam isu kemanusiaan, dan tidak tunduk kepada kuasa besar yang bersekongkol dalam penindasan terhadap rakyat Palestin.