ARAK YANG DIGUNAKAN ‘CHAMPAGNE SHOWER’ CEO PETRONAS JENAMA ‘MOET & CHANDON’ MENGANDUNGI 12% ALKOHOL – ARMADA BERSATU MALAYSIA

PETALING JAYA, 7 Oktober 2025 — Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Malaysia mengecam keras tindakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, yang didakwa terlibat dalam upacara “Champagne Shower” ketika meraikan kemenangan pasukan Mercedes AMG PETRONAS F1 Team di Formula 1 Singapore Grand Prix 2025, pada 5 Oktober lalu.

Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid, berkata tindakan tersebut amat tidak wajar dan mencemarkan imej seorang pemimpin korporat Melayu Islam yang mengetuai syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia. Menurut ARMADA BERSATU, champagne yang digunakan dalam upacara tersebut ialah jenama Moët & Chandon, dengan kandungan alkohol sebanyak 12%, yang merupakan champagne rasmi kejohanan Formula 1.

“Sebagai tokoh korporat Islam yang mewakili PETRONAS di peringkat antarabangsa, beliau seharusnya menunjukkan sensitiviti terhadap nilai dan ajaran agama. ARMADA BERSATU berpendapat beliau sepatutnya meninggalkan podium ketika upacara semburan arak berlangsung dan hanya kembali selepas ia selesai,” tegas Harris dalam satu kenyataan hari ini.

ARMADA BERSATU turut menyatakan kebimbangan terhadap trend normalisasi penggunaan arak dalam majlis rasmi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Kenyataan itu merujuk kepada insiden terdahulu melibatkan hidangan arak dalam majlis Tourism Malaysia, dan menyifatkan tindakan terbaru oleh Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS sebagai simbol kelonggaran prinsip moral dan agama dalam kalangan pemimpin GLC.

“ARMADA BERSATU tetap berbangga dengan kejayaan pasukan Mercedes AMG PETRONAS F1 Team dan penglibatan warganegara Malaysia dalam pentas dunia, namun kami tidak boleh berkompromi terhadap tindakan yang memalukan negara, lebih-lebih lagi di mata dunia Islam seperti Bahrain, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu,” katanya.

Susulan itu, ARMADA BERSATU menggesa Perdana Menteri supaya mengeluarkan amaran tegas kepada semua kementerian, agensi kerajaan, GLC dan syarikat milik kerajaan lain agar menjaga maruah negara yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.