PERASMIAN PAT SAYAP BERSATU; BERSATU CUKUP PENGALAMAN BAWA MALAYSIA KE NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI

SHAH ALAM, 6 Sept – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) perlu menjadi suara rakyat yang berani berkata benar serta menjunjung amanah memperkasa ummah. Beliau berkata demikian ketika merasmikan perhimpunan agung sayap-sayap parti sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 BERSATU bermula hari ini.

YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegaskan perjuangan parti mesti bermula dengan amanah dan bukan kepentingan peribadi. Katanya, BERSATU bersama Perikatan Nasional (PN) mampu mengemudi negara ke arah kejayaan kerana rakyat sudah mampu menilai prestasi kerajaan Madani yang didakwa gagal menangani kos sara hidup dan masalah ekonomi. “Keputusan bukan milik peribadi, ia adalah amanah demi kepentingan ummah,” tegasnya.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin turut membidas kegagalan kerajaan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim yang menurutnya tidak menunaikan janji, gagal mengawal inflasi dan sanggup menjual aset strategik negara. Beliau memberi amaran bahawa PRU16 akan menjadi titik penentu masa depan negara. “Jika rakyat tersalah pilih, kerosakan akan semakin parah. Beri peluang kepada BERSATU, kami akan tegakkan kepentingan rakyat,” katanya.

YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin turut menyeru sayap-sayap parti agar diperkasa dengan kekuatan ilmu, fizikal dan mental selain menguasai naratif digital serta meningkatkan literasi politik anak muda. Beliau menegaskan bahawa BERSATU adalah parti paling inklusif dalam sejarah politik Malaysia yang akan memperjuangkan agama, bangsa dan negara tanpa budaya perpecahan dalaman.

Mengakhiri ucapannya, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin mengingatkan seluruh kepimpinan dan ahli parti supaya sentiasa siap siaga serta menggerakkan seluruh kekuatan menjadi benteng perjuangan. “Apabila kita berkuasa, kita akan angkat negara ini ke mercu kegemilangan. BERSATU adalah harapan rakyat – hope to the nation,” katanya penuh semangat.