BERSATU AKAN MENANG DENGAN KEPIMPINAN MUHYIDDIN SEBAGAI CALON PERDANA MENTERI – ARMADA BERSATU

Shah Alam, 6 September – Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Muhammad Hilman Idham, dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung Tahunan Sayap ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 2025 menegaskan bahawa ARMADA bukan lagi sekadar sayap anak muda parti, tetapi sebuah ketumbukan yang berani, berdisiplin dan bersedia memimpin perubahan politik tanah air.

Dengan tema “Berjuang Demi Rakyat, Bersatu Untuk Malaysia”, YB Hilman Idham menekankan ARMADA BERSATU kini tampil sebagai barisan kepemudaan yang memiliki kompas perjuangan yang jelas, kepimpinan berwibawa, serta komitmen utuh untuk menjadi teraju kemenangan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-16. “ARMADA bukan budak suruhan. Kita adalah anak muda merdeka yang siap menerajui sejarah perjuangan sendiri,” tegas beliau.

YB Hilman Idham turut mengimbas gelombang kebangkitan rakyat pada 26 Julai lalu yang disertai ratusan ribu anak muda menolak “rejim Madani”. Beliau menyifatkan keberanian tokoh-tokoh muda seperti Chegu Bard, Syafiq Aziz dan Furqan Hakimi yang ditahan polis sebagai bukti keteguhan semangat juang. “Cubit peha kanan, peha kiri terasa. ARMADA tidak akan sesekali meninggalkan teman seperjuangan. Selagi hayat dikandung badan, perjuangan ini tidak akan padam,” katanya disambut sorakan hadirin.

Dalam ucapannya, Hilman mengkritik kegagalan kerajaan dalam menangani isu ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan serta perumahan anak muda. Beliau menyelar dasar pendidikan tinggi yang didakwa “mengkomersilkan universiti awam” hingga menjejaskan peluang anak tempatan, serta membantah RUU URA yang disifatkan menguntungkan pemaju berbanding rakyat. ARMADA, katanya, akan memperjuangkan dasar gaji minimum graduan, menubuhkan suruhanjaya industri gig, serta menolak ketidakadilan yang memaksa generasi muda berhijrah mencari peluang di luar negara.

Menutup ucapan, Hilman menegaskan ARMADA bersiap sedia mara sebagai saf perjuangan rakyat, membakar semangat menjelang pilihan raya. “Pertarungan ini antara rakyat dan elit penguasa. Yakinlah, rakyat pasti menang. Dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri, kita akan berjuang demi rakyat dan Bersatu untuk Malaysia!” laungnya sebelum disambut pekikan “Hidup ARMADA! Hidup rakyat! Hidup perjuangan!”