SISWA BERSATU BIDAS CADANGAN “SEMPIT” UMANY MANSUH MATRIKULASI

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Siswa BERSATU Malaysia membidas cadangan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) yang menggesa supaya Program Matrikulasi dimansuhkan dan hanya Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dikekalkan sebagai laluan tunggal kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Presiden Siswa BERSATU, Ameer Hazeem Mohd Zaky, menyifatkan cadangan UMANY itu sebagai “sempit” dan “semberono”, selain tidak berasaskan fakta yang tepat mengenai sistem kemasukan pelajar ke universiti.

“UMANY mendakwa silibus STPM lebih baik daripada Matrikulasi tanpa membuat penelitian menyeluruh. Hakikatnya, sistem kuota telah digantikan dengan meritokrasi sejak 2002, yang menilai pencapaian akademik serta kokurikulum pelajar secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ameer turut menegaskan bahawa isu seorang pelajar STPM yang gagal mendapat tempat di universiti idaman tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak Matrikulasi. Sebaliknya, jelas beliau, perkara itu perlu dilihat secara objektif dengan memahami prinsip meritokrasi yang menjadi asas kepada sistem UPU.

Siswa BERSATU menyeru agar UMANY dan pihak lain tidak mempolemikkan isu kemasukan IPTA dengan cadangan yang dianggap dangkal, sebaliknya memilih untuk berbincang secara kritis dan matang bagaimana sistem meritokrasi boleh ditambah baik.

“Kami bersedia untuk berdiskusi dengan semua pihak demi kepentingan mahasiswa dan masa depan negara tercinta ini,” katanya lagi.

Sebelumnya, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) hari ini menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan silibus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam (UA) bagi jurusan ijazah.

Menurut laporan media, Presidennya, Tang Yi Ze berkata, ini kerana pihaknya mendapati silibus STPM terbukti lebih baik. Malah, katanya silibus STPM lebih mencabar dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk oleh universiti ternama dunia.