ERA BAHARU BONGAWAN TAWARAN USTAZ MUDA DARI BERSATU

KIMANIS, 21 Okt — Ketua Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Bahagian Kimanis, Ridzuan Firdaus, muncul sebagai antara calon muda yang berpotensi mewarnai gelanggang politik Sabah apabila menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.

Dikenali sebagai “Ustaz” dalam kalangan masyarakat tempatan, Exco Armada Bersatu berusia 35 tahun itu mahu membawa suara generasi muda ke dalam arus politik negeri. “Sebagai anak muda dari kawasan ini, fokus saya ialah membawa perubahan. Kalau nak kata parti pembangkang yang benar-benar berfungsi, saya yakin Perikatan Nasional (PN) adalah pilihan itu,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur.

Ridzuan yang memulakan karier politik pada 2019 ketika pelancaran Bersatu Sabah menegaskan kesetiaannya kepada parti walaupun ramai rakan politiknya beralih ke Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas perubahan kerajaan negeri. “Saya tidak pernah sertai parti lain. Bersatu adalah parti pertama saya, dan saya melihatnya mampu bertahan lebih lama daripada Umno,” katanya.

Mengulas mengenai seruan memilih parti tempatan, beliau menyifatkan slogan “parti lokal” sebagai retorik politik semata-mata. Katanya, keseimbangan kuasa di Sabah masih bergantung kepada hubungan dengan kerajaan pusat. “Ramai nak jadi seperti Sarawak dengan slogan ‘rumah kita, kita jaga’, tapi akhirnya mereka juga bergabung dengan parti nasional,” jelasnya.

Ridzuan yang berasal dari Kimanis dan berkahwin dengan wanita tempatan Bongawan yakin dapat mendekati pengundi Islam-Brunei di kawasan itu. Beliau dijangka berdepan saingan sengit termasuk bekas menteri persekutuan, Datuk Seri Anifah Aman, yang pernah menjadi Ahli Parlimen Kimanis selama empat penggal. “Saya hormati sejarah beliau, tetapi mungkin rakyat Bongawan kini mahukan pemimpin muda dan wajah baharu,” ujarnya.

Sebagai pensyarah sambilan, Ridzuan melihat kebangkitan aktivisme anak muda di Sabah sebagai tanda kematangan politik baharu. “Anak muda kini berani bersuara dan tidak lagi mengikut keputusan orang tua mereka. Ini isyarat jelas bahawa perubahan akan datang melalui undi generasi muda,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November sebagai hari penamaan calon dan 29 November sebagai hari pengundian. Sama ada “Ustaz” muda dari Kimanis ini mampu menawan hati pengundi Bongawan masih menjadi tanda tanya, namun tekadnya jelas — menawarkan era baharu untuk Bongawan.