PERJANJIAN DAGANGAN AS-MALAYSIA (ART) MIRIP PENJAJAHAN ERA BAHARU; “ART BUKAN TIMBAL BALAS, SEBALIKNYA PENYERAHAN KEDAULATAN NEGARA” – AZMIN ALI

GOMBAK, 28 Okt — Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengecam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang didakwa sebagai satu bentuk “penyerahan kedaulatan ekonomi” kepada Amerika Syarikat.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional berkata, perjanjian itu bukanlah perkongsian timbal balik seperti digambarkan, sebaliknya mengehadkan hak Malaysia untuk membuat keputusan sendiri dalam banyak hal perdagangan, pelaburan dan peraturan pasaran.

“ART bukanlah perjanjian yang memperkukuh Malaysia. Ia adalah penyerahan kedaulatan, dasar berkecuali, dan masa depan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Azmin turut menegaskan bahawa Artikel 5.1 dalam perjanjian tersebut amat merugikan kerana memaksa Malaysia mengikut sekatan perdagangan Amerika Syarikat terhadap negara lain, walaupun tindakan itu boleh menjejaskan ekonomi tempatan.

Beliau turut memberi amaran bahawa ART boleh menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai negara neutral dan stabil, selain melemahkan kawalan terhadap pasaran domestik serta sistem pensijilan halal negara.

“Perjanjian ini juga menyerahkan kawalan terhadap ekonomi digital negara kepada pihak luar apabila melarang Malaysia mengenakan cukai ke atas syarikat teknologi global atau menetapkan keperluan penyimpanan data tempatan,” tambahnya.

Azmin menegaskan bahawa sebarang manfaat jangka pendek daripada ART tidak sebanding dengan kerosakan jangka panjang terhadap kedaulatan dan masa depan ekonomi negara.