‘RIDER’ HILANG SEBELAH KAKI AKIBAT KEMALANGAN TANGGUNG 2 ANAK KECIL – BERSATU TASEK GELUGOR HULUR BANTUAN RINGANKAN BEBAN

TASEK GELUGOR, 28 Oktober 2025 – Prihatin terhadap nasib seorang penduduk tempatan yang kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini, Ketua Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia Armada BERSATU Tasek Gelugor tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa sekeluarga.

Lawatan tersebut diketuai oleh Ketua Armada BERSATU Tasek Gelugor, Saudara Syafiq Azmi, bersama Ketua BERSATU Bahagian Tasek Gelugor merangkap ADUN Telok Ayer Tawar, YB Azmi Alang, di Taman Tun Dr Awang semalam.

Mangsa, seorang bapa kepada dua orang anak kecil, dilaporkan terlibat dalam kemalangan tragis ketika melakukan kerja sampingan sebagai penghantar makanan. Insiden itu menyebabkan beliau kehilangan sebelah kaki dan kini tidak lagi mampu bekerja seperti biasa.

Dalam lawatan tersebut, rombongan Armada BERSATU menyerahkan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan bantuan kewangan bagi meringankan beban mangsa serta keluarga.

Menurut Saudara Syafiq Azmi, lawatan itu bukan sahaja bertujuan menyalurkan bantuan segera, tetapi juga bagi menilai bentuk sokongan jangka panjang yang boleh disalurkan melalui saluran kebajikan dan bantuan kerajaan negeri.

“Armada BERSATU Tasek Gelugor sentiasa komited membantu golongan belia dan keluarga yang ditimpa kesusahan. Kami berharap lawatan ini dapat memberikan sedikit kelegaan serta membuka ruang kepada bantuan susulan,” katanya.

Sementara itu, YB Azmi Alang menzahirkan rasa simpati terhadap nasib mangsa dan memuji inisiatif yang digerakkan oleh Armada Tasek Gelugor. Beliau menegaskan bahawa kepimpinan BERSATU di semua peringkat akan terus menumpukan usaha kebajikan dan sokongan komuniti setempat.