ADUN BUKIT KEPONG SOKONG KEGUSARAN PEMANGKU SULTAN JOHOR RISIKO KESESAKAN SELEPAS RTS SIAP

JOHOR BAHRU, 20 NOV 2025 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, YB Dato’ Dr Sahruddin Jamal, dalam ucapan perbahasan Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-15, menegur keras kerajaan persekutuan berhubung pelaksanaan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) dan pengurusan infrastruktur di negeri itu.

Berucap ketika membahaskan Belanjawan Johor 2026, YB Dr Sahruddin yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU Negeri Johor turut menyatakan sokongan terhadap kegusaran Pemangku Sultan Johor mengenai risiko kesesakan trafik di Bukit Chagar selepas RTS siap, serta mendakwa kerajaan persekutuan gagal menyediakan penyelesaian menyeluruh bagi aliran trafik dan projek alternatif seperti ART bertingkat. Beliau turut membangkitkan isu ketidakseimbangan peruntukan, membandingkan projek LRT Pulau Pinang bernilai RM17 bilion dengan ketiadaan peruntukan sepadan untuk Johor.

Dr Sahruddin menegaskan bahawa meskipun Johor mencatat kadar pertumbuhan KDNK tertinggi 6.4%, negeri itu masih “dianaktirikan”. Beliau pada awalnya tersalah menyebut Johor mempunyai 24 Ahli Parlimen pembangkang sebelum membetulkan kenyataan bahawa jumlah tersebut adalah MP kerajaan. Beliau juga menggesa ADUN kerajaan bersuara lantang kepada Perdana Menteri, bukan sekadar “mahu menyertai kerajaan negeri”, tetapi bertindak mempertahankan Johor di peringkat pusat.

Dalam ucapannya, beliau turut menegur Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian kerana tidak menjawab isu infrastruktur yang dibangkitkan oleh MP Mersing. Beliau menyeru ADUN Benut dan Pulai Sebatang untuk menegur wakil rakyat kawasan masing-masing agar mengutamakan kepentingan pembangunan negeri.

Menyentuh isu pencemaran Sungai Johor yang menjejaskan 480,000 akaun pengguna, Dr Sahruddin berkata kejadian berulang seperti insiden Sungai Kim Kim dan Taman Mawar menunjukkan kelemahan penguatkuasaan serta penyelarasan agensi. Beliau menekankan keperluan pemantauan sumber air secara real-time serta mengingatkan bahawa Sungai Muar juga berisiko tercemar. “Air bersih adalah hak rakyat dan mesti dipertahankan,” katanya.

Beliau turut menyokong Belanjawan Johor 2026 bernilai RM2.55 bilion tetapi menegaskan sokongan itu bersyarat. Menurutnya, kekayaan negeri belum diterjemahkan sepenuhnya kepada kesejahteraan rakyat yang terus terbeban dengan kos sara hidup dan pengurangan subsidi. Bantuan tunai sekali bayar disifatkan tidak mencukupi dan kerajaan negeri digesa memperkasa dasar pembangunan kemahiran, keusahawanan, penyelidikan serta peluang pekerjaan.

Dalam isu berkaitan wanita, Dr Sahruddin berpandangan belanjawan negeri masih melihat wanita sebagai penerima ehsan dan bukan pemacu ekonomi, sambil menggesa dasar yang lebih progresif. Beliau turut mengalu-alukan insentif kepada penjawat awam tetapi mempersoal sama ada pesara persekutuan dari Johor turut menerima bantuan setara.

Akhir ucapannya, beliau mengumumkan menerima memorandum daripada penduduk Kampung Melayu Majidee berhubung isu tanah dan menggesa kerajaan negeri menyemak serta bertemu penduduk yang didakwa sukar mendapat akses kepada pimpinan.