GOMBAK, 19 November 2025 — Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Selangor hari ini mengumumkan barisan kepimpinan baharu bagi memperkukuh struktur organisasi parti serta memastikan segala agenda perjuangan terus digerakkan dengan lebih tersusun dan berkesan di peringkat negeri.
Dalam satu kenyataan media, Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU Negeri Selangor, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menegaskan bahawa BERSATU komited untuk memperkukuhkan peranan dalam mendepani isu-isu rakyat, khususnya ketika Persidangan Dewan Negeri Selangor yang sedang berlangsung bagi menyuarakan suara rakyat.
Selaras dengan Fasal 16.5 Perlembagaan parti, beberapa pelantikan utama diumumkan, antaranya:
1. YB Rosnizan Ahmad, Ketua Bahagian Kuala Langat, sebagai Setiausaha BPN Selangor;
2. Puan Jumiah Jonet, Ketua Bahagian Kapar, sebagai Bendahari BPN Selangor;
3. YB Wan Dzahanurin Ahmad, Ketua Bahagian Kota Raja, sebagai Ketua Penerangan BPN Selangor.
Dalam usaha memperkukuh komunikasi strategik parti, BPN Selangor turut melantik YB Dato’ Noorazley Yahya sebagai Pengarah Komunikasi & Strategi Media Baru, dengan tumpuan memperhebat penyampaian maklumat, penerangan dasar serta aspirasi perjuangan kepada rakyat.
Azmin yakin barisan kepimpinan baharu ini akan menyuntik semangat segar dalam memperkasa jentera parti di seluruh Selangor, selain memastikan mesej perjuangan BERSATU dan Perikatan Nasional terus sampai kepada rakyat dengan lebih berkesan.
