KUALA LUMPUR, 24 April 2026 — Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU menyatakan pendirian menjunjung kasih titah YDPA Sultan Ibrahim berhubung pelantikan Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas tamat kontrak Azam Baki.
Dalam satu kenyataan media, Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata pihaknya turut mengumumkan akan menyertai Himpunan “Tangkap Azam Baki” yang dijadual berlangsung pada 25 April 2026 (Sabtu), melibatkan mobilisasi ahli ARMADA dari seluruh negara.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira persepsi awam terhadap imej SPRM dan negara yang didakwa semakin terjejas, khususnya berkaitan tahap kepercayaan terhadap tadbir urus dan profesionalisme institusi berkenaan sejak kebelakangan ini.
“ARMADA juga meluahkan kekecewaan terhadap Anwar Ibrahim yang dilihat tidak mengambil langkah menamatkan perkhidmatan Azam Baki, sebaliknya menyambung kontrak beliau beberapa kali,” katanya.
Sehubungan itu, ARMADA menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pelbagai dakwaan termasuk isu ‘mafia korporat’, pegangan saham serta ketelusan siasatan. Kenyataan itu turut merujuk kes kematian Ahmad Sarbaini dan Teoh Beng Hock yang menurut mereka masih menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.
Dalam pada itu, ARMADA mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia turut berdepan pendakwaan terpilih bermotif politik, termasuk terhadap Presidennya, Muhyiddin Yassin. Mereka menegaskan bahawa institusi kerajaan tidak seharusnya digunakan sebagai alat politik oleh pihak pemerintah.
Mengulas lanjut, Harris berkata penyertaan dalam himpunan tersebut adalah sebagai manifestasi hak demokrasi golongan muda untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pendirian, selaras dengan lunas undang-undang.
“Himpunan ini adalah simbol keprihatinan rakyat, khususnya anak muda, dalam mempertahankan maruah negara dan integriti institusi,” katanya.
