ARMADA TUNTUT 50% CALON ANAK MUDA DALAM PILIHAN RAYA AKAN DATANG 

SHAH ALAM, 27 April 2026 – Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Negeri Selangor menggesa satu perubahan signifikan dalam strategi pencalonan Parti BERSATU dengan menuntut 50 peratus calon pada pilihan raya akan datang terdiri daripada golongan anak muda.

Cadangan itu disuarakan oleh Ketua Penerangan ARMADA Bersatu Selangor, Hafizan Naimman ketika sesi perbahasan mewakili sayap ARMADA sempena Konvensyen Bersatu Selangor yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) pada Ahad, bertemakan Memperkukuh Agenda Peduli Rakyat.

Menurut beliau, langkah tersebut bukan sekadar tuntutan politik, malah merupakan keperluan mendesak bagi memastikan parti kekal relevan dalam landskap politik semasa yang semakin dipacu oleh pengundi muda.

“Gelombang pengundi muda di Selangor semakin besar dan mereka sedang menilai sama ada BERSATU benar-benar serius dalam mengangkat suara serta peranan generasi ini,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa persepsi anak muda terhadap parti menjadi faktor penentu kepada masa depan perjuangan BERSATU. Justeru, pendekatan parti perlu lebih inklusif bukan sahaja dari segi kepelbagaian kaum, malah merangkumi keterbukaan terhadap penyertaan generasi muda dalam kepimpinan.

Dalam masa sama, Hafizan turut menyentuh perubahan sikap generasi muda masa kini yang semakin kritikal terhadap budaya politik lama. Katanya, golongan tersebut tidak lagi tertarik dengan retorik berlebihan atau konflik politik yang berpanjangan.

“Anak muda hari ini mahukan kestabilan, kepimpinan berprinsip dan penyelesaian yang realistik. Ini adalah peluang untuk Bersatu tampil sebagai parti yang matang, rasional dan berani dalam membuat keputusan,” ujarnya.

Konvensyen tersebut turut dihadiri Presiden Pengasas BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain barisan kepimpinan parti termasuk Naib Presiden BERSATU YB Datuk Dr Radzi Jidin dan Dato’ Seri Faizal Azumu, Ketua Penerangan BERSATU Datuk Tun Faisal, Setiausaha Agung merangkap Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Selangor YB Dato’ Seri Azmin Ali dan Bendahari Agung Dato’ Seri Rina Harun. 

Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa keterlibatan anak muda tidak seharusnya terhad kepada ruang simbolik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui peluang sebenar untuk bertanding dan memimpin.

“Bersatu perlu berani menampilkan calon muda yang segar dengan idea, tegas dengan prinsip serta mempunyai kekuatan tenaga untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya lagi.

Cadangan ARMADA BERSATU Selangor itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sokongan akar umbi, khususnya dalam kalangan generasi muda menjelang pilihan raya akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *