HAMPIR SEPARUH KEKAYAAN NEGERI DIKUASAI GOLONGAN BERPENDAPATAN TINGGI – HILMAN IDHAM DEDAH JURANG EKONOMI KRITIKAL DI SELANGOR

Shah Alam, 19 November 2025 – Dewan Undangan Negeri Selangor semalam dikejutkan dengan pendedahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, YB Hilman Idham, yang membentangkan data menunjukkan jurang pendapatan negeri semakin melebar sehingga “hampir separuh kekayaan Selangor dikuasai golongan berpendapatan tinggi”.

Dalam perbahasan Belanjawan Selangor 2026, Ketua Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU itu berkata tema Selangor Juara, Rakyat Sejahtera hanyalah slogan yang tidak menggambarkan realiti sebenar kerana kekayaan negeri tidak diagih secara seimbang.

Beliau merujuk kepada beberapa dapatan kajian sosioekonomi yang menunjukkan struktur ekonomi negeri kini berkembang secara tidak inklusif dan menekan golongan berpendapatan rendah serta kawasan luar bandar.

Hilman mendedahkan empat angka utama yang jelas menggambarkan ketidakseimbangan serius dalam agihan kekayaan negeri:

40% rakyat berpendapatan rendah hanya menerima 21% pendapatan negeri.

10% rakyat berpendapatan tertinggi menguasai 42% pendapatan negeri, hampir separuh kekayaan Selangor.

• Golongan T20 dan M40 Tier 1 menguasai 28% pendapatan negeri.

“Inilah bukti nyata bahawa kekayaan dan kemakmuran Selangor tidak diagihkan secara adil. Data ini bukan angka kosong ini realiti hidup rakyat,” tegas beliau.

Luar Bandar Hilang ‘Setahun Gaji’ Berbanding Bandar

Menurut Hilman, kesenjangan itu turut jelas kelihatan apabila dibandingkan antara bandar dan luar bandar:

• Pendapatan median bandar: RM10,805 sebulan

• Pendapatan median luar bandar: RM7,927 sebulan

• Perbezaan: RM2,878 sebulan, atau RM34,536 setahun

“Ini bermakna satu keluarga luar bandar hilang hampir satu tahun pendapatan berbanding keluarga bandar. Perbezaan ini terlalu ketara dan membimbangkan,” katanya.

Jurang Antara Daerah: Sabak Bernam Perlu 3 Tahun Untuk Kejar Sepang

Hilman turut membangkitkan perbezaan pendapatan antara daerah metropolitan seperti Sepang, Petaling dan Gombak berbanding daerah pinggir seperti Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Menurut data yang dikemukakan beliau, purata pendapatan boleh guna di kawasan metropolitan lebih tinggi sehingga RM95,000 setahun berbanding daerah luar bandar.

“Satu keluarga di Sabak Bernam perlu bekerja hampir tiga tahun untuk menyamai pendapatan satu tahun keluarga di Sepang. Jurang ini terlalu luas dan tidak lagi boleh diperbaiki dengan projek-projek kecil,” katanya.

Beliau menggesa Kerajaan Negeri Selangor menilai semula keutamaan Belanjawan 2026, memberi tumpuan kepada pembangunan inklusif, dan memastikan pertumbuhan negeri tidak hanya menguntungkan segelintir golongan berada.