ARMADA BERSATU JOHOR SELAR SEKATAN TERHADAP ADUN PEMBANGKANG, “JANGAN HUKUM RAKYAT KERANA PILIHAN MEREKA” 

JOHOR BAHRU, 21 Nov — ARMADA BERSATU Johor mengecam tindakan menyekat peranan dan akses Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang yang didakwa berlaku dalam pentadbiran negeri, sambil menegaskan bahawa bantuan, peruntukan serta mesyuarat rasmi kerajaan tidak boleh dijadikan alat politik.

Dalam satu kenyataan semalam, Penolong Setiausaha sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Negeri Johor, Azhari Jaafar berkata pihaknya memandang serius ucapan perbahasan ADUN Endau, YB Alwiyah Talib, yang menimbulkan isu sekatan terhadap ADUN Pembangkang dalam sidang Dewan Undangan Negeri Johor baru-baru ini.

Beliau membangkitkan kebimbangan mengenai dakwaan penafian akses ADUN Pembangkang ke Mesyuarat Tindakan DUN (MTD), yang disifatkan sebagai platform penting dalam menyelesaikan masalah setempat. ARMADA menegaskan bahawa tindakan menyisihkan ADUN hanya akan menjejaskan usaha menangani isu rakyat secara berkesan.

ARMADA BERSATU turut menggesa Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, memastikan peruntukan negeri diagihkan secara adil tanpa mengira parti politik. “Peruntukan untuk rakyat tidak boleh dijadikan alat politik. Jangan hukum rakyat kerana pilihan mereka, dan jangan hukum ADUN Pembangkang kerana mereka dipilih untuk mewakili rakyat,” tegas kenyataan itu.

Mengulas suasana politik menjelang Pilihan Raya Negeri Johor, ARMADA mengingatkan rakyat agar tidak terperangkap dengan politik bantuan semata-mata seperti program Bakul Kasih Johor (BKJ), sambil menyifatkan politik berbentuk sempit dan jumud tidak lagi sesuai dalam era pentadbiran moden.