‘UNDI PARTI LOKAL DAPAT PARTI MALAYA’, JIKA BENAR ANGKAT SEMANGAT PARTI LOKAL GRS PATUT BERGABUNG DENGAN WARISAN – ARMADA BERSATU SABAH

Kota Kinabalu, 3 Disember 2025  — Gelora politik pasca pilihan raya negeri Sabah dilihat semakin berterusan apabila beberapa pimpinan Gabungan Rakyat Sabah GRS menolak penyertaan Barisan Nasional dalam pembentukan kerajaan. Semalam Parti Solidariti Tanah Airku STAR juga dikatakan tidak menyertai kerajaan campuran Hajiji. 

Naib Ketua Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia Armada Bersatu Sabah, Khairil Anwar, semalam mencadangkan agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempertimbangkan pembentukan satu blok kerajaan baharu bersama Parti Warisan serta parti-parti tempatan lain selepas keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 menunjukkan gabungan itu tidak memperoleh majoriti mencukupi.

Menurut beliau, keputusan Pilihan Raya Sabah kali ini membuktikan bahawa GRS tidak mampu membentuk kerajaan negeri secara sendirian tanpa kerjasama gabungan lain atau sokongan ADUN bebas. Tambahan pula, beberapa ADUN GRS serta pemimpin termasuk sayap pemuda GRS melalaui beberapa kenyataan media dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan pimpinan gabungan itu membawa masuk ADUN Barisan Nasional (BN) ke dalam kabinet baharu.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar GRS benar-benar membuktikan komitmen terhadap slogan “Kerajaan Parti Lokal” dengan membuka pintu kerjasama rasmi dengan parti tempatan utama seperti Warisan, selain parti-parti Sabah lain, untuk membentuk satu blok kerajaan yang lebih mencerminkan identiti politik negeri.

“Buktikan bahawa ‘Kerajaan Parti Lokal’ itu benar-benar diperjuangkan dan bukan sekadar naratif atau menu politik untuk rakyat Sabah sahaja,” tegas Khairil.