KUALA LUMPUR, 30 Nov – Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU menzahirkan penghormatan terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diumumkan semalam, sambil menyifatkannya sebagai isyarat jelas daripada rakyat untuk diteliti dan diterima dengan jiwa terbuka.
Ketua Srikandi Muda BERSATU Malaysia, Nurul Ezzati binti Azmi berkata pihaknya menerima keputusan itu sebagai manifestasi sebenar demokrasi, selain mengakui bahawa pilihan rakyat adalah suara tertinggi dalam sistem politik negara.
“Srikandi Muda BERSATU menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan penuh rasa hormat terhadap suara rakyat. Inilah hakikat demokrasi untuk rakyat memilih, dan kita menginsafi amanah itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera Perikatan Nasional di Sabah dan seluruh negara yang disifatkan sebagai tulang belakang kempen sepanjang tempoh pilihan raya. Menurutnya, pengorbanan mereka yang berjuang tanpa mengenal cuaca dan masa bukan satu usaha yang sia-sia.
“Keringat mereka adalah bukti semangat perjuangan yang tidak goyah,” tegasnya.
Nurul Ezzati berkata keputusan di Sabah menjadi titik muhasabah buat parti, sekaligus membuka ruang untuk memperkasa strategi dan memperkukuh jentera menjelang PRN Melaka dan Johor, selain menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
“Inilah masanya untuk kita menajamkan strategi, menyusun langkah baharu, dan memperkukuh kekuatan. Perjalanan ini belum selesai; ia baru bermula semula dengan lebih matang,” jelasnya.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada rakyat Sabah atas keberanian menyuarakan pandangan mereka, sambil menegaskan bahawa Srikandi Muda BERSATU akan terus memperjuangkan hak wanita dan golongan muda serta agenda ekonomi rakyat dan pembangunan negeri.
“Kami mendengar. Kami belajar. Kami akan kembali dengan tekad yang lebih jitu,” katanya.
