KOTA KINABALU, 30 NOV 2025 — Keputusan rasmi menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendahului senarai kemenangan dalam Pilihan Raya Sabah Ke-17 tahun 2025, dengan memperoleh kemenangan di 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, tiada parti atau gabungan berjaya memperoleh majoriti mudah 37 kerusi. Di belakang GRS, Parti Warisan Sabah (Warisan) memperoleh 25 kerusi. Keputusan penuh di bawah;
| Parti / Gabungan | Kerusi Menang (daripada 73) |
| Gabungan Rakyat Sabah (GRS) | 29 |
| Parti Warisan | 25 |
| Barisan Nasional (BN) | 6 |
| United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO) | 3 |
| Sabah STAR Party (STAR) | 2 |
| Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) | 1 |
| Perikatan Nasional (PN) | 1 |
| Pakatan Harapan (PH) | 1 |
| Independents (Bebas) | 5 |
Sementara itu, parti-parti daripada Kerajaan Madani diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengalami kekalahan besar, apabila Pakatan Harapan hanya mendapat 1 kerusi dan Barisan Nasional hanya memperoleh 6 kerusi. Kekalahan besar ini menepati jangkaan beberapa penganalisa yang menjangkakan dakwaan salah guna kuasa dan skandal rasuah yang dikaitkan dengan individu tertentu dalam pemerintahan tertinggi kerajaan akan memberi kesan dalam pilihan raya Sabah kali ini.
Pengundi Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini juga dilihat lebih cenderung memilih calon dan parti yang dianggap mewakili aspirasi tempatan. Walaupun ada segelintir tokoh dalam gabungan parti tersebut turut terkait dengan skandal rasuah mineral di Sabah, namun tetap mendapat sokongan paling tinggi.
Walau bagaimanapun, kemenangan beberapa calon bebas yang berjaya menewaskan calon dari parti asal mereka iaitu GRS juga memperlihatkan dinamika politik Sabah serta kecenderungan rakyat dalam mula membuat pilihan berdasarkan personaliti calon dan bukan hanya semata-mata sentimen parti.
Keputusan pilihan raya negeri Sabah kali ini juga menepati jangkaan penganalisa di mana tiada parti yang akan berjaya memenangi kerusi majoriti mudah dan akan membentuk kerajaan dengan gabungan parti lain.
