KUALA LUMPUR, 12 Dis — Perikatan Nasional (PN) sekali lagi menggesa kerajaan menilai semula beberapa terma dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat susulan kebimbangan serius berkaitan kedaulatan negara dan kedudukan dasar ekonomi jangka panjang. Desakan itu disuarakan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, dalam satu kenyataan media hari ini.
Hamzah berkata beliau sejak awal telah menyuarakan kegusaran terhadap sekurang-kurangnya dua artikel penting dalam perjanjian tersebut iaitu artikel 3.3 dan 5.1 yang didakwanya berpotensi mengikat Malaysia serta menjejaskan kuasa negara dalam membuat keputusan berkaitan dasar-dasar strategik. Menurutnya, kebimbangan itu telah berulang kali dibangkitkan melalui sidang media dan perbahasan di Parlimen oleh Ahli-Ahli Parlimen PN.
Beliau turut merujuk laporan Reuters yang menyatakan Indonesia menolak beberapa terma awal rundingan perjanjian sama dengan Amerika Syarikat kerana dianggap terlalu ketat dan menjejaskan kedaulatan negara tersebut. Katanya, pendirian Indonesia itu membuktikan kebimbangan PN adalah berasas dan sepatutnya menjadi rujukan penting bagi Malaysia.
Namun, katanya, ketika Indonesia mengambil langkah menilai semula terma-terma yang dianggap bermasalah, Kerajaan Madani pula dilihat enggan mempertimbangkan rundingan semula meskipun terdapat klausa yang menurut PN boleh memudaratkan Malaysia dalam jangka masa panjang. Beliau mempersoalkan tindakan kerajaan yang lebih memberi penekanan kepada pujian Washington seperti digambarkan melalui kenyataan Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Scott Bessent, yang melabel Malaysia sebagai “good actor” tanpa meneliti kos sebenar di sebaliknya.
Sehubungan itu, PN menuntut kerajaan segera mendedahkan kepada rakyat terma-terma yang ditolak Indonesia dan menjelaskan sama ada kandungan yang sama turut dimasukkan dalam ART yang telah ditandatangani Malaysia. PN juga mendesak kerajaan menilai implikasi jangka panjang terhadap industri negara, kedaulatan ekonomi dan ruang dasar Malaysia.
“Kerajaan perlu menjelaskan secara telus kepada rakyat apakah harga yang perlu dibayar untuk menjadi ‘good actor’ di mata Washington? Di mana letaknya keutamaan dan kepentingan negara ketika keputusan itu dibuat?” kata Hamzah.
