PERLEMBAGAAN PERLU DIPINDA TETAPKAN SYARAT PERDANA MENTERI WAJIB ORANG MELAYU – NOH OMAR

KUALA LUMPUR, 14 DIS 2025 – Pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, Tan Sri Noh Omar menyeru agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menetapkan jawatan Perdana Menteri hanya boleh disandang oleh orang Melayu beragama Islam. Cadangan itu disuarakan beliau ketika berucap pada Konvensyen Melayu 153 yang berlangsung di ibu negara.

Menurut Noh Omar, Perlembagaan Persekutuan ketika ini tidak memperuntukkan secara jelas syarat kaum dan agama bagi jawatan Perdana Menteri, satu perkara yang disifatkannya sebagai kelemahan yang perlu diperbetulkan demi menjamin kedudukan Melayu dan Islam sebagai teras kepimpinan negara.

Beliau turut membandingkan kedudukan itu dengan Perlembagaan Negeri Selangor yang menetapkan Menteri Besar mestilah seorang Melayu beragama Islam, sambil menegaskan bahawa prinsip sama wajar diterapkan di peringkat Persekutuan selaras dengan realiti sejarah dan struktur pemerintahan negara.

Dalam ucapannya, Noh Omar menggesa orang Melayu supaya bersatu dan memperkukuh kekuatan politik bagi mempertahankan kedaulatan negara, termasuk memastikan kepimpinan tertinggi negara terus berada di bawah pimpinan Melayu Islam.

Untuk rekod, Perlembagaan Persekutuan ketika ini hanya menetapkan bahawa Perdana Menteri mestilah seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti, tanpa menyatakan sebarang syarat berkaitan kaum atau agama. Sebarang pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Parlimen dan perkenan Majlis Raja-Raja bagi perkara tertentu.