PETALING JAYA, 31 DIS 2025 – Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8, Datuk Dr Marzuki Mohamad berpandangan peletakan jawatan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) susulan konflik politik di Perlis berpotensi mengulangi kesilapan sejarah yang pernah menimpa PAS dalam era Barisan Alternatif (BA).
Dalam hantaran di media sosial, beliau mengimbau Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 apabila PAS mencatat kemenangan terbesar hasil “Malay revolt” terhadap Barisan Nasional (BN) susulan pemecatan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus melonjakkan sokongan Melayu khususnya di negeri-negeri teras seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Menurutnya, kerjasama PAS dengan Parti Keadilan Nasional dan DAP ketika itu membolehkan parti berkenaan menembusi negeri Pantai Barat dan tampil lebih progresif, namun kelebihan itu tidak kekal lama selepas pengumuman Dokumen Negara Islam oleh kepimpinan PAS menyebabkan BA runtuh dan PAS tewas teruk dalam PRU 2004.
Dr Marzuki berkata, situasi semasa menunjukkan PAS sedang melalui “trajectory” yang hampir sama, apabila kemenangan terbesar parti itu dalam PRU-15 banyak disumbangkan oleh PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin, namun isu Perlis menyaksikan kesalahan diletakkan sepenuhnya ke atas Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU itu.
Beliau menyifatkan tindakan mendesak Tan Sri Muhyiddin berundur sebagai tidak adil, memandangkan tokoh berkenaan hanya menjunjung titah Raja Perlis dalam soal pelantikan Menteri Besar, selain mengingatkan bahawa Muhyiddin bukan asing melepaskan jawatan demi prinsip.
Mengulas masa depan PN, Dr Marzuki menegaskan gabungan itu memerlukan tiga prasyarat untuk menang PRU-16 iaitu memaksimumkan sokongan Melayu, menarik sekurang-kurangnya 15 hingga 20 peratus sokongan bukan Melayu serta mendapatkan dukungan parti-parti di Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, beliau berpandangan ketiga-tiga prasyarat itu kini semakin kabur berikutan kegagalan PN menarik penyokong UMNO secara konsisten, kebimbangan pengundi bukan Melayu terhadap dominasi PAS serta jurang imej konservatif PN dengan parti-parti di Malaysia Timur.
“BERSATU dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin sebelum ini menjadi jambatan kepada watak moderat PN, namun jambatan itu sedang dibakar,” katanya sambil mempersoalkan sama ada PN benar-benar mengukuh atau sebenarnya sedang memusnahkan kelebihan sendiri.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepimpinan PN supaya bermuhasabah secara rasional dan objektif agar pengalaman pahit BA dalam PRU 2004 tidak berulang menjelang pilihan raya akan datang.
