BERSATU HULU LANGAT DESAK BATAL PROGRAM “GLAMPING WITH PRIDE” – FAIZ RAHMAD

HULU LANGAT, 9 JAN 2026 — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Hulu Langat mendesak agar program “Glamping With Pride” yang dijadualkan berlangsung di kawasan Parlimen Hulu Langat pada hujung minggu ini dibatalkan serta-merta kerana didakwa berpotensi menjejaskan keharmonian dan sensitiviti masyarakat setempat.

Naib Ketua ARMADA BERSATU Malaysia merangkap Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat, Faiz Rahmad, berkata kawasan Parlimen Hulu Langat tidak wajar dijadikan lokasi bagi sebarang bentuk “eksperimen sosial” yang bersifat sensitif dan boleh mencetuskan ketegangan awam, khususnya dalam kalangan masyarakat majoriti Islam.

Faiz menegaskan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf kebebasan mempromosikan identiti seksual sebagai hak mutlak sekiranya ia bertentangan dengan agama, moral awam dan ketenteraman masyarakat. Menurutnya, kebebasan sebagai warganegara tidak boleh ditafsirkan sehingga menormalisasikan ideologi yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai moral majoriti rakyat.

Menurut beliau, sebarang inisiatif berkaitan kesejahteraan mental atau kesedaran kesihatan seharusnya dilaksanakan melalui agensi kerajaan yang berautoriti, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta selaras dengan dasar dan kerangka perundangan negara.

“Program seumpama ini tidak seharusnya dianjurkan oleh pertubuhan yang status, peranan dan pendekatannya menimbulkan persoalan serius dari sudut undang-undang, moral dan kepentingan awam, apatah lagi jika mengandungi unsur promosi gaya hidup yang bercanggah dengan norma masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menggesa Kerajaan Negeri Selangor memberikan penjelasan berhubung sama ada penganjuran program berkenaan telah memperoleh kelulusan pihak berkuasa tempatan, serta tahap pemantauan oleh pihak berkuasa agama negeri, khususnya berkaitan unsur promosi awam yang didakwa bercanggah dengan nilai agama dan moral.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan bahawa penganjuran program tersebut berpotensi mencetuskan reaksi awam, termasuk bantahan besar-besaran, yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan semua pihak.

“Sehubungan itu, langkah paling wajar dan bertanggungjawab ialah membatalkan penganjuran program ini di kawasan Parlimen Hulu Langat,” katanya.