PESAWAH HIMPUN BANTAH UPOV, ADUN KOTA SIPUTEH TEGAS PERTAHAN NASIB PETANI

KUALA LUMPUR, 21 JAN 2026 – Ratusan pesawah dan petani dari seluruh negara berhimpun secara aman di hadapan Parlimen semalam bagi menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan Konvensyen Kesatuan Antarabangsa Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV), yang didakwa mengancam kelangsungan hidup pesawah kecil dan keselamatan makanan negara.

Perhimpunan tertib itu dipimpin oleh Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, dengan disertai pelbagai pertubuhan petani, anak muda serta mahasiswa yang hadir menyatakan solidariti terhadap perjuangan pesawah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh merangkap Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Jerlun, YB Ashraf Mustaqim, berkata beliau hadir bukan sekadar sebagai pemerhati, sebaliknya sebagai sebahagian daripada perjuangan pesawah memandangkan kawasan yang diwakilinya merupakan jelapang padi utama negara.

“Isu yang dibawa hari ini adalah realiti harian pesawah di Kota Siputeh yang berdepan tekanan kos, ketidaktentuan cuaca serta dasar yang sering digubal tanpa mengambil kira keadaan sebenar di lapangan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Dalam perhimpunan tersebut, PeSAWAH bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan menyerahkan memorandum bantahan terhadap UPOV serta mengemukakan tuntutan berkaitan nasib pesawah padi yang semakin terhimpit. Memorandum itu diterima oleh beberapa Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang yang hadir menemui peserta perhimpunan.

Ashraf turut mengambil peluang menyuarakan secara langsung isu dan kebimbangan pesawah kepada wakil-wakil rakyat yang hadir, sambil menegaskan bahawa isu petani tidak boleh dilihat secara sempit.

“Apabila hak pesawah terancam, maka terancamlah soal makanan, benih, kelangsungan pertanian dan masa depan keterjaminan makanan negara. Hak petani adalah hak rakyat,” tegasnya.

Dalam ucapan yang tular menerusi rakaman video perhimpunan, beliau turut mendakwa nasib pesawah tidak menunjukkan sebarang peningkatan sejak kenaikan harga diesel lebih setahun lalu, malah kos sara hidup dan kos pengeluaran terus meningkat.

“Sejak diesel naik sampai hari ini, secara jujur saya katakan nasib pak tani tidak pernah meningkat, bahkan secara teknikalnya semua menurun,” katanya, sambil menggesa kerajaan mengambil tindakan tuntas dan tidak sekadar berbahas di Dewan Rakyat.

YB Ashraf Mustaqim turut membangkitkan isu pelaksanaan UPOV yang disifatkan sebagai “bala terbesar” kepada pesawah, khususnya di Kedah, kerana berpotensi menggagalkan usaha negeri untuk membangunkan benih komuniti dan melindungi kedaulatan benih tempatan.

Beliau yang juga Ketua BERSATU Bahagian Jerlun menyeru agar satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi menangani isu-isu pesawah secara menyeluruh serta memastikan peruntukan dan dasar kerajaan benar-benar sampai ke peringkat akar umbi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir secara aman dan berdisiplin, sambil menegaskan perjuangan mempertahankan hak pesawah tidak akan terhenti dengan penyerahan memorandum semata-mata.

“Selagi diberi amanah, saya akan terus berdiri bersama pesawah dan petani, menyuarakan hak mereka demi masa depan pertanian dan kesejahteraan negara,” katanya.