BUKIT AMAN, 8 Ogos 2025 – Ketua ARMADA BERSATU Malaysia merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, YB Muhammad Hilman Idham, dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Isnin depan bagi memberi keterangan berhubung ucapannya pada acara “Malam Solidariti Tolak Akta Hasutan” di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 29 Julai lalu.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid, pihaknya dimaklumkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Hilman dijadual hadir memberi keterangan pada 11 Ogos 2025, jam 11 pagi, di Bukit Aman.
ARMADA dalam kenyataan itu menyifatkan tindakan siasatan ini sebagai satu bentuk tekanan dan intimidasi politik, khususnya selepas penganjuran Himpunan Turun Anwar baru-baru ini.
“BERSATU dan seluruh kepimpinan ARMADA akan terus berdiri teguh bersama YB Hilman Idham dan berharap agar proses siasatan akan berjalan dengan lancar mengikut lunas undang-undang,” ujar Harris.
