ISU BABI BUKAN SOAL MAKAN, TETAPI LOKASI, SISTEM DAN PENCEMARAN – MOHD FAHIM FARID

PUTRAJAYA, 22 JAN 2026 – Perdebatan tentang isu babi masih berlarutan dan turut mendapat reaksi hangat di media sosial. Penolong Setiausaha sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU, Mohd Fahim Mohd Farid, menegaskan bahawa polemik berkaitan babi tidak seharusnya disempitkan kepada soal pemakanan semata-mata.

“Isu babi bukan soal makan, tapi lokasi ladang, sistem dan isu pencemaran. Ayam pun kalau diternak di belakang rumah orang dan busuk, orang tetap marah,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Perbincangan awam seharusnya lebih tertumpu kepada isu pengurusan, kebersihan dan kesejahteraan penduduk setempat, bukannya menyerang kembali mana-mana amalan budaya atau berpura-pura menjadi mangsa keadaan, seolah-olah seperti ‘play victim’ daripada perbezaan budaya.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin (GPS), berkata masyarakat Dayak tidak pernah mencaci atau merendahkan pilihan makanan kaum lain, namun sering menjadi sasaran kritikan kerana memakan daging babi.

“Kita sebagai orang Dayak tak pernah mencaci dan menghina makanan orang lain. Kita sebagai orang yang makan babi tidak banyak yang ambil rasuah, tidak banyak yang makan dadah, tidak banyak yang sampai buat perkara pelik-pelik, tapi kita dituduh makan babi dan tidak jadi orang bertamadun,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Willie, sikap menghina makanan sesuatu kaum perlu dihentikan demi keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Dalam perbahasan sama, beliau turut membuat perbandingan dengan beberapa makanan tempatan lain seperti budu dan belacan yang mempunyai bau kuat, namun tidak pernah dijadikan alasan untuk menghina pihak yang mengamalkannya.

“Walaupun babi itu busuk, busuk lagi budu dan belacan, tapi kita tak pernah menghina. Kita saling menghormati untuk menjaga dan mendengar titah Duli Tuanku supaya hidup harmoni,” katanya lagi.