JOHOR BAHRU,4 APRIL – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan kira-kira 40,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Johor yang berisiko gulung tikar susulan krisis di Asia Barat.
Ketua Penerangan Bersatu Johor, Syafiq Aziz berkata, kerajaan perlu membentangkan pelan intervensi yang jelas dan menyeluruh selain melaksanakan moratorium bersasar kepada PKS terjejas. Beliau turut mencadangkan penubuhan dana kecemasan bagi sektor kritikal serta intervensi segera terhadap kos logistik dan tenaga.
Menurutnya, langkah kelima yang dicadangkan ialah memperkenalkan pelan perlindungan pekerjaan di peringkat nasional bagi mengelakkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran. Cadangan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap impak krisis global yang semakin meruncing.
Sebelum ini, Presiden Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor, Ismail Karim dilaporkan berkata, puluhan ribu PKS di negeri itu berdepan risiko gulung tikar, dengan kesannya dijangka lebih buruk berbanding krisis kewangan 1997 dan pandemik Covid-19.
Syafiq menegaskan, situasi tersebut merupakan isyarat jelas bahawa ekonomi negara sedang memasuki fasa membimbangkan, justeru kerajaan tidak boleh terus berlengah dengan alasan kajian semata-mata. Katanya, tindakan pantas dan berani diperlukan bagi memastikan kelangsungan perniagaan serta pekerjaan rakyat.
Tambah beliau, peningkatan kos operasi, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan geopolitik telah lama menunjukkan tanda awal krisis. Sekiranya tiada langkah efektif diambil, negara berisiko berdepan gelombang penutupan PKS, kenaikan harga barangan serta ketidakstabilan sosial, khususnya di Johor.
