“KERAJAAN INI KERAJAAN BETA” – RAJA PERLIS TITAH BERI RUANG MB MEMIMPIN SEHINGGA HABIS PENGGAL TANPA KACAU GANGGU

KANGAR, 3 Jun — Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan harapan agar Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, diberikan ruang untuk terus menerajui pentadbiran negeri sehingga penghujung penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 tanpa sebarang gangguan.

Titah baginda, kestabilan politik dan pentadbiran negeri perlu dipelihara bagi memastikan segala perancangan pembangunan yang telah dirangka dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan rakyat.

“Beta ingin mengingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian bahawa kerajaan ini adalah Kerajaan Beta.

“Justeru, beta berharap agar Mamanda Menteri Besar diberikan ruang untuk terus memimpin sehingga ke akhir penggal Dewan Undangan Negeri yang ke-15 tanpa sebarang kacau ganggu yang akan merencatkan segala perancangan yang telah dirangka,” titah baginda.

Titah tersebut dibacakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena perasmian Penggal Persidangan Keempat DUN Perlis ke-15 di Kompleks Seri Putra, pada Rabu.

Dalam titah yang sama, baginda menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya mengenepikan perbezaan politik dan kepentingan peribadi serta memberi kerjasama penuh kepada Menteri Besar bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan dengan berkesan.

Menurut baginda, sebarang perbezaan pandangan dan pertelagahan perlu diselesaikan secara berhemah dan harmoni kerana kestabilan politik merupakan faktor penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negeri Perlis.

Tuanku Syed Sirajuddin turut mengingatkan bahawa setiap dasar dan keputusan kerajaan hendaklah berteraskan kepentingan rakyat serta menjurus kepada pembangunan yang seimbang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan masyarakat.

Pada masa sama, baginda menyeru semua wakil rakyat agar memanfaatkan sidang DUN sebagai medan untuk mengemukakan idea serta cadangan yang konstruktif bagi memajukan negeri, bukannya menjadi platform pertelagahan politik.

Titah tersebut hadir ketika Sidang DUN Perlis yang berlangsung selama tiga hari mulai Rabu menjadi perhatian susulan spekulasi berhubung kemungkinan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar yang dikatakan akan dibawa oleh beberapa wakil rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *