BERSATU AKAN TERUS BANTU SEMUA CALON RAKAN KOMPONEN PERIKATAN NASIONAL – MUHYIDDIN

BUKIT KEPONG, 27 Jun – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa BERSATU akan terus membantu semua calon parti-parti rakan komponen sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, walaupun terdapat kenyataan bahawa PAS tidak akan membantu kempen calon BERSATU, parti itu tetap berpegang kepada prinsip kerjasama dalam gabungan dengan menghulurkan bantuan kepada semua calon dari parti rakan komponen.

“Kita tak ada minta siapa nak bantu. Siapa nak bantu, bantulah,” katanya ketika ditemui media selepas proses penamaan calon DUN Bukit Kepong.

Muhyiddin berkata, semangat saling membantu merupakan prinsip yang sepatutnya diamalkan dalam sesebuah gabungan politik.

“Dalam soal prinsip Perikatan Nasional, sepatutnya ada semangat saling membantu. Tetapi kalau rakan tak nak bantu, kita terimalah.”

Beliau bagaimanapun menegaskan perkara itu tidak akan menjejaskan gerak kerja BERSATU yang akan terus bekerja keras dengan kekuatan sendiri di samping membantu calon-calon daripada parti rakan.

Muhyiddin turut menyatakan keyakinan bahawa rakyat mampu membuat pertimbangan yang terbaik berdasarkan rekod pentadbiran, dasar dan komitmen setiap parti dalam membela kepentingan rakyat.

Beliau berkata, fokus utama BERSATU kini adalah memastikan seluruh jentera memberi tumpuan kepada kempen bagi memenangkan calon-calon Perikatan Nasional dan rakan-rakan komponen yang bertanding.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *