ARMADA BERSATU TUBUH MAJLIS PERUNDING KEBIJAKAN BENTUK TAWARAN POLISI BAHARU ANAK MUDA

PAGOH, 10 Sept – Ucapan Ketua ARMADA Malaysia, YB Hilman Idham, pada Persidangan Agung Tahunan (PAT) ARMADA 2025 disifatkan sebagai manifestasi jelas hala tuju perjuangan anak muda yang lebih matang, tegas dan berwawasan.

Menurut kenyataan EXCO ARMADA Nasional, Mohd Idzharruddin bin Mohd Nasirruddin, ucapan tersebut menegaskan bahawa ARMADA bukan sekadar “budak suruhan”, sebaliknya sebuah entiti kepimpinan muda yang berdikari serta berani membawa agenda sendiri. Beliau berkata, ARMADA juga konsisten memperjuangkan kebebasan bersuara termasuk mengkritik penggunaan Akta Hasutan dan menuntut janji reformasi undang-undang dilaksanakan.

“Ucapan Ketua ARMADA turut menggariskan agenda konkrit untuk anak muda, antaranya cadangan gaji minimum bagi graduan, perlindungan pekerja industri gig, serta penubuhan Majlis Perundingan Kebijakan yang menghimpunkan profesional muda untuk merangka dasar ekonomi dan pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas kegagalan kerajaan Madani, Idzharruddin berkata Perikatan Nasional tampil sebagai government-in-waiting dengan tawaran dasar yang lebih tuntas. Menurutnya, trend semasa memperlihatkan generasi muda lebih cenderung mencipta pekerjaan berbanding mencari pekerjaan, maka dasar pemberdayaan ekonomi dan kemahiran anak muda mesti diberi keutamaan.

ARMADA, katanya, turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Industri Gig yang dilengkapi dengan Universal Service Provision Fund (USP Fund) untuk memberi perlindungan sosial, jaminan masa depan dan peluang latihan kepada pekerja gig. Cadangan ini dilihat lebih menyeluruh berbanding Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang dibentangkan kerajaan Madani yang disifatkan “cacat sifatnya”.

“Ekonomi gig adalah industri universal yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat. Justeru, penyediaan dasar yang adil dan lestari amat penting agar tenaga muda dan aset intelektual negara tidak terus berhijrah ke luar. ARMADA percaya langkah ini penting untuk menjamin masa depan ekonomi digital Malaysia,” tegasnya.