MACHANG, 15 Julai – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menggesa kerajaan Malaysia untuk segera mengeluarkan nota bantahan rasmi terhadap pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia. Gesaan itu dibuat susulan pengumuman Presiden Donald J. Trump pada 10 Julai lalu yang menamakan Adams bersama beberapa calon duta lain ke Thailand, Sri Lanka dan Kazakhstan.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, pencalonan Nick Adams yang terkenal sebagai pengulas politik berhaluan kanan ekstrem dan penulis dengan rekod kenyataan seksis serta pendirian pro-Israel melampau adalah sangat membimbangkan. Tambah beliau, calon tersebut juga tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang diplomasi atau perkhidmatan luar Amerika Syarikat, menjadikan pelantikannya tidak boleh diterima.
Beliau turut menegaskan pencalonan ini perlu dilihat dalam konteks pengumuman pentadbiran Trump baru-baru ini yang menaikkan tarif khusus ke atas eksport Malaysia, menjadikan negara ini satu-satunya anggota ASEAN yang dikenakan tekanan ekonomi sedemikian. “Masa dan sifat keputusan ini menunjukkan penghinaan sengaja terhadap kerajaan Malaysia serta menandakan kurangnya rasa hormat kepada kedaulatan dan maruah diplomatik negara kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menuntut Kabinet Malaysia untuk tidak memberikan agreement atau persetujuan rasmi di bawah Artikel 4 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961 terhadap pelantikan tersebut. Katanya, Malaysia berhak menolak mana-mana calon duta yang dianggap memudaratkan hubungan dua hala atau menyinggung nilai serta kepentingan negara.
Wan Ahmad Fayhsal turut mengingatkan bahawa kegagalan kerajaan bertindak tegas dalam isu ini akan mencalarkan komitmen pentadbiran MADANI untuk mempertahankan maruah dan kebebasan dasar luar negara. “Malaysia tidak boleh berdiam diri di atas penghinaan seperti ini. Maruah negara mesti dipertahankan,” tegas beliau dalam kenyataannya hari ini.
