GOMBAK, 2 Okt – Sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Malaysia mengecam keras tindakan tentera Israel menahan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza. Ketua ARMADA BERSATU, YB Hilman Idham berkata, penahanan itu adalah satu pencabulan hak asasi manusia dan kebebasan aktivis antarabangsa yang berjuang untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.
Menurut beliau, tindakan Israel memintas dan menahan kapal-kapal flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan jelas melanggar konvensyen serta undang-undang antarabangsa. Katanya, undang-undang antarabangsa secara jelas melarang sebarang sekatan atau halangan terhadap konvoi kemanusiaan, apatah lagi yang membawa barangan asas untuk kelangsungan hidup penduduk Gaza.
ARMADA BERSATU Malaysia menuntut pembebasan segera semua sukarelawan GSF, khususnya rakyat Malaysia, selain jaminan keselamatan dan layanan kemanusiaan terhadap semua tahanan. Hilman menegaskan, isu ini bukan sekadar soal kemanusiaan semata-mata tetapi melibatkan kedaulatan negara serta maruah rakyat Malaysia. “Warganegara kita tidak boleh dijadikan bidak catur di tangan penindas,” katanya.
Selain itu, ARMADA BERSATU turut menggesa kerajaan Malaysia mengangkat isu ini di peringkat antarabangsa dan memimpin suara serantau selaku Pengerusi ASEAN 2025. Hilman menekankan bahawa Malaysia tidak boleh tunduk kepada kuasa besar yang bersekongkol dengan rejim Zionis, malah menyelar tindakan memberi sambutan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini.
“Duit pembayar cukai tidak seharusnya digunakan untuk mengalu-alukan seorang pemimpin yang melindungi penindasan. Malaysia mesti berpendirian tegas bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana kuasa yang bersekongkol dengan kezaliman,” tegas Hilman.
