PAGOH, 2 Okt – Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang didakwa menceroboh serta menghalang misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza. Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai biadab, tidak berperikemanusiaan dan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa.
Konvoi tersebut membawa bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas untuk rakyat Gaza, namun Israel dikatakan menyekat penghantaran itu walaupun ia atas nama kemanusiaan. Menurut Muhyiddin, perbuatan itu bukan sahaja jenayah terhadap rakyat Palestin, malah penghinaan terhadap rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan.
Pengerusi Perikatan Nasional itu juga turut menegaskan bahawa serangan terhadap sukarelawan Malaysia yang menyertai misi flotilla berkenaan merupakan serangan terhadap maruah negara. Justeru, beliau mendesak kerajaan Malaysia mengambil langkah segera melalui saluran diplomatik dan perundangan untuk menjamin keselamatan serta pembebasan sukarelawan, khususnya warganegara Malaysia.
Dalam masa yang sama, Muhyiddin meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan komuniti antarabangsa supaya tidak lagi berdiam diri, sebaliknya bertindak memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berulang kali dilakukan.
“Israel boleh menghalang kapal, tetapi mereka tidak akan mampu menghalang gelombang solidariti yang semakin membesar di seluruh dunia untuk membela Palestin,” katanya sambil menegaskan perjuangan tersebut adalah perjuangan kemanusiaan yang akan terus didokong Malaysia.
