SHAH ALAM, 18 Nov — Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, membidas keras pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang didakwanya gagal memenuhi mandat penubuhan agensi itu untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat.
Dalam perbahasan Bajet Selangor 2026 semalam, ADUN Hulu Kelang itu berkata PKNS bukan sahaja gagal mencapai sasaran pembinaan Rumah Selangorku, malah terlibat dalam keputusan-keputusan komersial yang menurutnya “menyimpang jauh” daripada tujuan asal penubuhannya pada 1964.
Azmin yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, turut mengingatkan Dewan bahawa Bajet 2024 meletakkan sasaran 200,000 unit Rumah Selangorku, namun PKNS hanya komited membina 10,000 unit menjelang 2030. Beliau turut menegur tindakan PKNS menjual development rights PJ Sentral kepada MRCB dengan nilai RM270 juta, termasuk penyerahan 13 unit kondominium mewah di St. Regis Kuala Lumpur. “Saya ingin tahu siapa penyewa 13 unit ini, jumlah sewaan dan tempoh pajakan,” tegasnya.
Beliau seterusnya mendedahkan dokumen bertarikh 12 Ogos 2025 menunjukkan PKNS melantik SA Planning Services untuk menjalankan Kajian Impak Sosial (SIA) bagi pembangunan padang golf dan rumah kelab di atas tanah 167.47 ekar di Sepang.
Azmin menyifatkan tindakan PKNS memohon pindaan pelan susun atur daripada lot industri kepada padang golf 18 lubang sebagai keputusan yang menafikan hak rakyat memiliki rumah mampu milik, terutama di Sepang yang mencatat permintaan perumahan tertinggi di Selangor. Beliau menegaskan bahawa dengan densiti 120 unit seekar, PKNS sebenarnya berupaya membina lebih 20,000 unit Rumah Selangorku di tanah tersebut.
“GDV bagi 20,000 unit rumah mampu milik adalah RM5 bilion. PKNS masih boleh mendapat keuntungan sekitar RM500 juta tanpa menafikan hak rakyat,” katanya sambil merujuk pembentangan LPHS yang menunjukkan 23,908 permohonan rumah mampu milik datang dari daerah Sepang, majoritinya pemohon muda berpendapatan di bawah RM3,000.
Sehubungan itu, Azmin mendesak Menteri Besar selaku Pengerusi PKNS mengarahkan agar projek padang golf tersebut dibatalkan serta-merta. Beliau turut menuntut Majlis Perbandaran Sepang supaya “tidak mempertimbangkan” sebarang pindaan pelan susun atur yang mengurangkan peluang rakyat memiliki rumah mampu milik.
