Putra Heights, 6 April 2025 – Misi bantuan pasca kebakaran yang diadakan pada hari Ahad, 6 April 2025 di Putra Heights telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan seramai 150 sukarelawan daripada gabungan pelbagai sayap BERSATU dan PAS Selangor.
Misi ini dianjurkan untuk membantu pusat tahfiz tiga tingkat dan tadika dua tingkat yang terkesan akibat tragedi kebakaran paip gas baru-baru ini. Dalam usaha murni ini, para sukarelawan telah melaksanakan beberapa aktiviti utama seperti pembersihan menyeluruh di seluruh kawasan bangunan, pembuangan tanah, debu serta sisa terbakar, penggunaan water jet dan cucian lantai. Di samping itu, penyediaan makanan dan aktiviti memasak turut dianjurkan bagi memastikan para sukarelawan mendapat tenaga sepanjang operasi bantuan.
Majlis rasmi misi dimulakan dengan penyerahan sijil penghargaan dan buah tangan oleh YB Hilman Idham kepada wakil Klinik Anda Putra Heights. Tindakan ini sebagai penghargaan atas usaha pantas mereka dalam menggerakkan bantuan kecemasan semasa kejadian bersama ARMADA Selangor.
Ucapan setinggi-tinggi penghargaan juga disampaikan kepada YB Hilman Idham yang mengetuai misi ini, kepada Ketua ARMADA Selangor serta pimpinan ARMADA Selangor dan ARMADA Puchong yang bertanggungjawab dalam perancangan dan pelaksanaan program, dan kepada seluruh jentera serta penyelaras lapangan yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran misi tersebut.
Misi ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, antaranya ARMADA Malaysia, BRIGED ARMADA Malaysia, SRIKANDI Malaysia, SRIKANDI MUDA Malaysia, ARMADA Wilayah Persekutuan, ARMADA Gombak, ARMADA Setiawangsa, SRIKANDI Subang, SRIKANDI MUDA Selangor, SRIKANDI Wilayah Persekutuan, SRIKANDI Lembah Pantai, AJK Penerangan BERSATU Malaysia serta PAS Selangor, PAS Sepang, PAS Puchong dan Pemuda PAS Selangor.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih disampaikan kepada semua sukarelawan yang telah turun padang untuk menjayakan misi ini. Sekiranya terdapat sebarang kekhilafan dalam penyebutan nama individu atau pasukan tertentu, pihak penganjur memohon maaf, namun setiap sumbangan dan jasa telah diberikan penghargaan yang setulusnya.
Semangat kebersamaan dan kesukarelawanan yang ditonjolkan melalui misi ini diharap dapat menjadi teladan dalam usaha membantu mereka yang memerlukan serta memberi inspirasi kepada masyarakat dalam menghadapi cabaran masa hadapan.