TUN ABDULLAH PEMBELA NASIB PETANI, FOKUS KETERJAMINAN MAKANAN SEMASA PENTADBIRANNYA – MUHYIDDIN YASSIN

KUALA LUMPUR, 15 April — Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini hadir di Masjid Negara bersama isteri bagi memberi penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri Malaysia Ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia semalam.

YB Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengenang kepercayaan yang diberikan oleh Allahyarham kepadanya untuk menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sebuah portfolio penting yang amat dekat di hati Tun Abdullah semasa di bawah pentadbirannya. 

“Allahyarham memberi perhatian besar terhadap isu keterjaminan makanan serta usaha membela nasib petani dan nelayan menerusi pelbagai program pertanian,” tambah beliau.

Beliau melahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Tun Abdullah, yang disifatkannya sebagai seorang tokoh besar yang banyak berjasa dalam pembangunan negara.

“Sepanjang kepimpinannya, Allahyarham memperkenalkan konsep Islam Hadhari yang memberi tumpuan kepada peningkatan mutu kehidupan rakyat melalui penguasaan ilmu dan pembangunan modal insan,” ujarnya.

Katanya lagi, pemergian Tun Abdullah adalah satu kehilangan besar buat negara dan seluruh rakyat pasti merasai kesedihan ini.

Turut hadir bersama beliau di Masjid Negara, Kuala Lumpur ialah Setiausaha Agung BERSATU, YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden BERSATU YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta beberapa pemimpin lain daripada BERSATU.

“Saya mewakili seluruh ahli dan kepimpinan parti menyampaikan ucapan takziah kepada Tun Jeanne Abdullah dan ahli keluarga Allahyarham,” kata YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas upacara pengebumian.

Selepas menunaikan solat Zohor, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama ribuan jemaah lain turut menunaikan solat jenazah sebagai penghormatan terakhir kepada negarawan tersebut.

“Saya mendoakan agar roh Allahyarham Tun Abdullah dirahmati dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *