ORANG AWAM TERIMA KASIH, JENTERA ARMADA BERSATU BANTU MANGSA KEMALANGAN DI AYER KUNING

AYER KUNING, 25 April 2025 – Aktiviti kempen Pemuda Perikatan Nasional di Pilihan Raya Kecil DUN Ayer Kuning minggu lalu terhenti seketika apabila pasukan Jentera ARMADA BERSATU menemui seorang lelaki terbaring di tengah jalan, terlibat dalam kemalangan sewaktu hujan lebat yang membahayakan nyawa.

Orang awam cuba mengenal pasti siapa yang membantu mereka melalui video yang tular di media sosial. Antara individu yang berjaya dikenal pasti dalam video berdurasi pendek tersebut adalah ADUN Seberang Jaya, YB Izhar Shah yang juga Ketua ARMADA BERSATU Pulau Pinang dan Saudara Najmie, EXCO ARMADA BERSATU Malaysia.

Jentera kempen dilihat segera menghentikan konvoi dan memberikan pertolongan cemas awal, kata saksi yang berada di situ. “Apa yang menyentuh hati, bantuan bukan hanya datang daripada kami—orang awam pelbagai kaum turut berhenti membantu tanpa mengira bangsa. Yang penting, nyawa selamat diselamatkan,” kata seorang petugas ARMADA BERSATU apabila ditanya selepas berjaya dihubungi. 

Sambil menunggu ambulans tiba, petugas dan orang awam sama-sama membuka payung memastikan beliau terlindung daripada hujan.

Insiden ini mencerminkan nilai sebenar kemanusiaan dan semangat perpaduan rakyat Malaysia, di mana kerjasama rentas kaum muncul ketika nyawa dipertaruhkan. “Dalam hujan lebat, payung dibuka, tangan dihulur—saat inilah kita saksikan nilai kemanusiaan rakyat Malaysia,” tambah petugas berkenaan.

Orang awam cuba mencari individu yang membantu mangsa semasa kejadian untuk merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *