VETERAN ATM TIDAK BERPENCEN PERLU BANTUAN, YB AZMI ALANG SALUR SUMBANGAN KERUSI RODA

BUTTERWORTH, 4 Mei 2025 – Keperihatinan terhadap nasib pejuang lama tanah air terus disemarakkan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Air Tawar merangkap Ketua Bahagian BERSATU Tasek Gelugor, YB Azmi Alang, mengadakan kunjungan ziarah ke kediaman seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini terlantar akibat pelbagai masalah kesihatan kronik.

Dalam program ziarah mesra yang berlangsung di Taman Senangan, Butterworth, YB Azmi Alang yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Pulau Pinang telah menyampaikan sumbangan berupa kerusi roda kepada veteran berkenaan, Mohd Shahran bin Sulaiman, 47, yang mengalami pelbagai penyakit serius termasuk diabetes, darah tinggi, masalah jantung, gout serta kegagalan buah pinggang tahap lima.

“Jasa dan pengorbanan anggota tentera yang telah berkhidmat demi negara tidak harus dilupakan begitu sahaja. Kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU hari ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi sebagai tanda solidariti dan penghargaan kepada pejuang yang pernah mempertaruhkan nyawa demi keamanan negara.”

Mohd Shahran yang beralamat di Tingkat Pahlawan 6, Taman Senangan, sebelum ini berkhidmat dalam ATM, kini memerlukan bantuan segera untuk kos persediaan tapak dialisis serta pemeriksaan jantung (angiogram).

Bantuan ini turut diusahakan dengan kerjasama Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVTTB) Bahagian Pulau Pinang yang diwakili oleh Naib Presiden PVTTB, Abu Hasan bin Abd Malik.

Program seperti ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan ADUN Telok Air Tawar dalam mendekati rakyat serta menzahirkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, khususnya dalam kalangan veteran ATM yang tidak berpencen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *