HILMAN DIPANGGIL POLIS JAM 3 PAGI TIDAK HALANG BRIGED ARMADA TERUSKAN LATIHAN

Gopeng, 19 Ogos 2025 – Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), YB Hilman Idham, telah dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Gopeng pada awal pagi Sabtu lalu. Beliau dihubungi sekitar jam 1.30 pagi dan tiba di balai polis berkenaan pada jam 3 pagi bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan mempertahankan Jalur Gemilang yang berlangsung di Kepala Batas pada 14 Ogos.

Dalam sesi soal siasat yang dijalankan oleh pegawai dari Bukit Aman, Hilman ditanya sekurang-kurangnya 20 soalan berkaitan perhimpunan tersebut. Proses itu mengambil masa lebih dua jam sebelum beliau dibenarkan pulang semula ke Markas Latihan ARMADA Malaysia di Gopeng. Walaupun dipanggil pada waktu yang tidak menentu, Hilman menegaskan bahawa perkara itu tidak menghalang beliau untuk terus bersama peserta dalam latihan Briged ARMADA yang sedang berlangsung.

Latihan Asas Briged ARMADA Malaysia di Gopeng itu melibatkan lebih 30 peserta dan berlangsung selama tiga hari, dari 15 hingga 17 Ogos. Program tersebut memberi penekanan kepada aspek ketahanan mental dan fizikal, di samping membina semangat setiakawan, disiplin serta kesungguhan anak muda untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Latihan dikendalikan oleh Timbalan Komander Briged ARMADA Malaysia, Afiq Nardin, bersama Ketua Fasilitator, Syafiq Aziz, manakala slot ceramah disampaikan oleh Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia Nasional, Harris Idaham Rashid, yang menekankan peranan generasi muda sebagai barisan hadapan perjuangan politik tanah air. Inisiatif ini turut mendapat sokongan padu daripada Komander Briged ARMADA Malaysia, Aendrie Aziz, yang dipuji atas kepimpinan dalam memastikan kelancaran latihan.

Hilman dalam pada itu menyatakan penghargaan kepada seluruh pasukan penganjur serta peserta yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang latihan. “Briged ARMADA akan terus melangkah gagah, menjadi barisan hadapan parti yang berani, berdisiplin, dan tidak gentar menjulang panji perjuangan ARMADA,” tegasnya selepas latihan tamat.