HILMAN IDHAM BAKAL DIDAKWA ESOK DI BAWAH KANUN KESEKSAAN

KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2025 – Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham, akan dituduh di Mahkamah Majistret Jenayah (7) Kuala Lumpur, Jalan Duta pada 20 Ogos 2025 jam 9 pagi. Pertuduhan akan dibuat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang berkaitan dengan kenyataan-kenyataan mendatangkan khianat awam.

Pertuduhan tersebut dipercayai berkait dengan ucapan beliau ketika Himpunan Solidariti Tolak Akta Hasutan yang diadakan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 29 Julai 2025. Himpunan aman itu diadakan sebagai reaksi terhadap penahanan empat individu oleh pihak polis susulan Perhimpunan Turun Anwar yang sedang disiasat di bawah Akta Hasutan.

ARMADA BERSATU Malaysia dalam kenyataannya mengecam keras tindakan ini dan menyifatkannya sebagai bentuk intimidasi politik yang bertujuan membungkam suara pembangkang.

Menurut ARMADA, tindakan ini tidak hanya menzalimi pemimpin pembangkang, malah ia juga menggugat prinsip demokrasi yang seharusnya menjamin kebebasan bersuara. ARMADA turut menegaskan komitmen untuk berdiri teguh bersama YB Hilman Idham sepanjang proses undang-undang ini berlangsung.

Dalam masa yang sama, ARMADA menyatakan bahawa kes ini akan menjadi titik tolak kepada usaha berterusan untuk memansuhkan Akta Hasutan yang dilihat sebagai undang-undang lapuk dan mengekang kebebasan rakyat.