AKAUN PARTI MASIH DIBEKUKAN, MUHYIDDIN LANCAR PROGRAM ‘BERSATU INFAQ’ TAMPUNG PERBELANJAAN PARTI

Tambun, 19 Ogos – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabtu lalu melancarkan program BERSATU INFAQ sebagai inisiatif untuk mengumpul dana bagi menampung sebahagian perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran parti di semua peringkat.

Majlis pelancaran diadakan di Tambun dengan kehadiran Presiden Pengasas BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama isterinya. Turut hadir ialah Setiausaha Agung BERSATU YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Penerangan BERSATU Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, Ketua Srikandi BERSATU Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Srikandi Muda BERSATU Nurul Ezzati Azmi, serta Ketua Bersekutu BERSATU Dr Chong Fat Full. Majlis turut disempurnakan oleh Naib Presiden BERSATU Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku tuan rumah.

Muhyiddin dalam ucapannya mengucapkan penghargaan kepada Bendahari Agung BERSATU, Datuk Seri Rina Harun, serta pasukan beliau atas kerja keras menjayakan program tersebut. Beliau menegaskan program ini digerakkan selepas akaun rasmi BERSATU dibekukan oleh pihak berkuasa sejak beberapa tahun lalu, walaupun parti tidak berdepan sebarang pertuduhan.

“Saya ingin tegaskan bahawa tuduhan hanya dikenakan terhadap saya atas motif politik. Semua sumbangan tidak pernah masuk ke akaun peribadi saya, sebaliknya disalurkan ke akaun rasmi BERSATU yang diaudit, dibentangkan serta diluluskan dalam Perhimpunan Agung Tahunan, dan diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan setiap tahun tanpa masalah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak parti telah mencabar tindakan pembekuan akaun BERSATU di mahkamah agar dana tersebut dapat digunakan semula. Muhyiddin berharap agar program BERSATU INFAQ mendapat sokongan bukan sahaja daripada ahli parti, tetapi juga masyarakat umum.

“Saya berdoa semoga Allah SWT melapangkan jalan rezeki kita, memberkati setiap usaha dan memudahkan urusan kita,” ujar beliau.