SRIKANDI MUDA BERSATU KECAM SERANGAN KE ATAS ANAK RAFIZI RAMLI

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Srikandi Muda BERSATU Malaysia menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan terhadap insiden serangan fizikal yang menimpa anak kepada mantan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Seri Rafizi Ramli, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, Ketua Srikandi Muda BERSATU Malaysia, Nurul Ezzati binti Azmi berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan itu, apatah lagi ia melibatkan seorang kanak-kanak yang tidak sepatutnya menjadi mangsa.

“Tindakan keji sebegini sama sekali tidak boleh diterima dalam masyarakat yang bertamadun dan beradab,” katanya.

Sehubungan itu, Srikandi Muda BERSATU menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa berkaitan untuk segera menjalankan siasatan menyeluruh, mengenal pasti pelaku dan membawa mereka ke muka pengadilan tanpa kompromi.

Selain itu, pihaknya turut berharap agar tindakan pantas diambil bagi mengelakkan insiden sebegini berulang dan memastikan keselamatan awam, khususnya kanak-kanak, terus terjamin.

Dalam masa yang sama, Srikandi Muda BERSATU turut mendoakan agar anak mangsa berada dalam keadaan selamat dan keluarga YB Dato’ Seri Rafizi Ramli terus tabah menghadapi dugaan tersebut.