PERUNTUKAN JUTAAN RINGGIT, MP PKR CADANG NAIK GAJI KETIKA RAKYAT SUSAH – EXCO ARMADA BERSATU MALAYSIA 

KUALA LUMPUR, 15 Mei 2025 — Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Armada, menyuarakan bantahan terhadap cadangan kenaikan gaji Ahli Parlimen, menyifatkannya sebagai tidak sensitif terhadap kesusahan rakyat dalam keadaan ekonomi semasa.

Exco Armada, Muhammad Ashraf bin Hayup Khan, menegaskan bahawa dalam situasi rakyat berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, pengangguran, dan pemotongan subsidi, sebarang kenaikan gaji kepada pemimpin politik adalah tidak wajar.

“Dana negara sepatutnya digunakan untuk membantu golongan terjejas seperti B40, pelajar, dan penjawat awam berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa keutamaan belanjawan negara seharusnya diberikan kepada sektor kesihatan, pendidikan, kebajikan rakyat, dan pemulihan ekonomi, bukannya kepada elaun pemimpin.

“Ketika rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup, pengangguran, dan pemotongan subsidi, kenaikan gaji kepada golongan pemimpin boleh dilihat sebagai tidak sensitif dan mencetuskan kemarahan rakyat,” ujar Muhammad Ashraf.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa jumlah pendapatan Ahli Parlimen di negara ini mampu mencecah antara RM30,000 hingga RM40,000 sebulan, termasuk pelbagai elaun dan tuntutan rasmi sudah cukup memadai bagi kami.

Armada BERSATU menegaskan bahawa sebarang cadangan untuk menaikkan gaji Ahli Parlimen pada masa ini adalah tidak sesuai dan tidak bertepatan dengan keperluan rakyat. Mereka menyeru agar semua pihak memberikan keutamaan kepada kesejahteraan rakyat dan memastikan bahawa setiap sen perbelanjaan negara digunakan dengan bijak dan berhemah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *