BATU KAWAN, 28 Mei 2025 – Mesyuarat Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Pulau Pinang yang berlangsung semalam di Ibu Pejabat BERSATU Negeri di Batu Kawan menyaksikan perbincangan menyeluruh berkaitan pengukuhan parti dan kebimbangan terhadap pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Badan Pimpinan Negeri, YB Zulkefli Bakar turut dihadiri oleh barisan Pimpinan dan Jawatankuasa BPN, Ketua- ketua sayap negeri bersama pimpinan G5 ARMADA Negeri, G5 SRIKANDI Negeri, Exco – Exco Nasional daripada sayap-sayap Armada, Srikandi dan Srikandi Muda BERSATU dari Pulau Pinang, serta wakil-wakil rakyat BERSATU negeri Pulau Pinang.
Antara agenda utama yang dibincangkan termasuklah usaha pengukuhan parti di semua peringkat, negeri, bahagian dan cawangan serta persiapan untuk menjalankan persidangan cawangan di setiap bahagian seluruh negara. Pemakluman aktiviti yang dirancang oleh BPN serta ketua-ketua sayap, dan persediaan menghadapi pilihan raya akan datang turut dimaklumkan dalam mesyuarat. Mesyuarat turut memutuskan untuk mengukuhkan lagi hubungan antara gabungan parti Perikatan Nasional yang dilihat semakin mendapat sokongan dari rakyat.
Dalam sesi laporan isu semasa oleh wakil rakyat negeri Pulau Pinang, BPN turut menzahirkan keresahan terhadap situasi kewangan negeri yang dilihat membimbangkan. Meskipun kerajaan negeri memohon suntikan kewangan sebanyak RM100 juta daripada kerajaan Persekutuan, keputusan untuk membeli 15 buah Toyota Camry bernilai lebih RM3 juta telah menimbulkan persoalan tentang keutamaan perbelanjaan semasa rakyat bergelut dengan kos sara hidup.
Situasi pentadbiran kerajaan negeri turut disentuh apabila BPN menyatakan kebimbangan terhadap konflik dalaman antara Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng. Ketegangan antara dua tokoh utama DAP itu dikhuatiri akan mengganggu kestabilan pentadbiran negeri serta menjejaskan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap hala tuju kerajaan negeri. Lebih parah lagi apabila konflik ini turut disokong oleh penyokong masing-masing.
BERSATU Pulau Pinang menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh akar umbi parti, memperluas jangkauan kepada pengundi, serta menawarkan alternatif kepimpinan yang lebih telus dan prihatin terhadap isu rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang.
Mesyuarat diakhiri dengan seruan kepada semua ahli dan penyokong BERSATU agar terus bersatu dalam memperjuangkan masa depan Pulau Pinang yang lebih adil, mampan dan progresif.