KUALA LUMPUR, 19 Jun 2025 — Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggesa kerajaan Malaysia untuk memimpin usaha diplomatik serantau dan antarabangsa bagi menghentikan kekejaman berterusan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Dalam satu kenyataan tegas hari ini, beliau menzahirkan simpati mendalam terhadap nasib malang yang menimpa rakyat Palestin, menyifatkan krisis yang bermula sejak 7 Oktober 2023 sebagai salah satu episod paling tragis dalam sejarah moden Asia Barat. Katanya, krisis ini telah memasuki hari ke-620 dengan lebih 55,000 nyawa terkorban dan hampir keseluruhan penduduk Gaza yang berjumlah lebih dua juta telah kehilangan tempat tinggal.
“Mereka kini terperangkap dalam keadaan darurat—tanpa makanan, air bersih, ubat-ubatan, mahupun perlindungan yang selamat. Ini bukan sekadar genosid, tetapi satu bentuk hukuman kolektif yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan mencabuli nilai asas kemanusiaan,” katanya.
Muhyiddin turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin meningkat antara Israel dan Iran, serta memberi perhatian terhadap kenyataan Presiden Amerika Syarikat yang menggesa rakyat Iran supaya meninggalkan Tehran, satu petanda jelas bahawa rantau tersebut sedang menuju kepada konflik berskala besar yang berpotensi menggugat kestabilan global.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan Malaysia agar segera memanggil satu sidang khas ASEAN-OIC untuk merangka pelan tindakan kolektif. Cadangan beliau merangkumi desakan kepada:
• Gencatan senjata menyeluruh di Gaza serta menghentikan konflik antara Israel dan Iran,
• Akses tanpa sekatan kepada bantuan kemanusiaan,
• Sokongan terhadap siasatan bebas terhadap jenayah perang, dan
• Dorongan diplomasi berprinsip ke arah penyelesaian adil berasaskan hak asasi rakyat Palestin.
“Malaysia tidak boleh berdiam diri. Kita mesti mara ke hadapan dengan prinsip yang jelas, keberanian moral yang konsisten dan kewibawaan diplomatik yang menjadi suara kepada kemanusiaan sejagat,” tegas beliau lagi.
Tambah Muhyiddin, kegagalan kepimpinan dunia Islam ketika ini amat membimbangkan dan menggambarkan kekosongan moral serta strategi dalam mempertahankan keadilan untuk rakyat Palestin.
“Perikatan Nasional berdiri teguh bersama rakyat Palestin yang tertindas dan menzahirkan solidariti terhadap semua mangsa kezaliman di Timur Tengah. Sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa, terutamanya negara-negara OIC dan ASEAN, tampil ke hadapan untuk menghentikan segala bentuk kekejaman terhadap kemanusiaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mempunyai tanggungjawab moral dan strategik untuk memimpin suara umat Islam dan masyarakat antarabangsa dalam menangani tragedi ini.
