MUAK DENGAN SANDIWARA ANWAR, SRIKANDI MUDA BERSATU SERU WANITA BERANI SERTAI HIMPUNAN “TURUN ANWAR”

KUALA LUMPUR, 20 Jun 2025 — Sayap wanita muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Srikandi Muda, hari ini mengumumkan pendirian tegas untuk turun ke jalanan bagi mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Ketua Srikandi Muda BERSATU Malaysia, Nurul Ezzati Binti Azmi, mereka berikrar akan sertai Himpunan “TURUN ANWAR” pada 26 Julai 2025 sebagai simbol protes terhadap apa yang disifatkan sebagai kegagalan kerajaan Madani.

Menurut kenyataan itu, Srikandi Muda menzahirkan rasa muak, marah dan kecewa dengan kegagalan pentadbiran Anwar Ibrahim yang didakwa membebankan rakyat dengan kos sara hidup yang tinggi, pengurusan ekonomi yang semakin lemah serta pentadbiran yang sarat dengan ketirisan.

“Anwar Ibrahim tidak lagi layak memimpin negara ini. Retoriknya basi, tindakannya lemah, dan pentadbirannya hanyalah sandiwara politik yang menindas rakyat,” tegas kenyataan itu.

Srikandi Muda BERSATU juga mendakwa rakyat kini dibisukan, kebebasan disekat dan demokrasi diinjak oleh kerajaan sedia ada. Sehubungan itu, mereka menyeru seluruh anak muda dan golongan wanita dari seluruh negara untuk turut serta dalam himpunan tersebut sebagai tanda penentangan terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Nurul Ezzati turut memaklumkan bahawa Srikandi Muda akan bergandingan dengan sayap wanita Srikandi BERSATU dan ARMADA BERSATU untuk menggerakkan jentera serta ahli-ahli parti, dengan matlamat menjadikan perhimpunan tersebut sebagai satu ‘gelombang rakyat’ yang tidak boleh dihalang.