“ADAKAH NEGARA BAKAL HILANG SUMBER ASLI?”, KERAJAAN PERLU DEDAHKAN PERJANJIAN BERKAITAN BLOK AMBALAT – NABILA NORSAHAR

KOTA KINABALU, 7 Julai 2025 – Naib Ketua Srikandi Muda BERSATU Malaysia, Nabila Binti Norsahar baru ini menegaskan bahawa Sabah perlu diberi suara dalam isu Blok Ambalat susulan cadangan Pembangunan Bersama (Joint Development Agreement – JDA) antara Malaysia dan Indonesia. Beliau menyatakan cadangan tersebut dibuat secara tergesa-gesa tanpa penglibatan rasmi Kerajaan Negeri Sabah atau rakyat negeri ini.

Menurut Nabila, sebagai negeri paling hampir dengan Ambalat, Sabah mempunyai kepentingan langsung terhadap wilayah, sumber asli dan keselamatan di kawasan tersebut. “Sabah berisiko kehilangan hak ke atas wilayah maritimnya yang telah lama menjadi sebahagian daripada zon ekonomi eksklusif (ZEE) negeri ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa Blok Ambalat kaya dengan minyak dan gas, dan jika Sabah diketepikan, negeri ini bakal kehilangan potensi hasil besar yang sepatutnya dimanfaatkan untuk pembangunan rakyat. Tambahnya, ketiadaan sempadan jelas juga membuka ruang kepada pencerobohan atau konflik perairan yang mengancam keselamatan Pantai Timur Sabah.

Nabila menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera mendedahkan kandungan penuh perjanjian berkaitan Blok Ambalat termasuk JDA dan sebarang triti sempadan maritim. Beliau turut menuntut supaya Kerajaan Negeri Sabah diberi tempat rasmi dalam semua rundingan, Parlimen dan DUN Sabah dibenarkan membahaskan isu ini, serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dihormati sepenuhnya.

“Kedaulatan negeri dan kepentingan rakyat Sabah bukan barang dagangan. Kami tidak akan berdiam diri terhadap sebarang tindakan yang boleh menjejaskan maruah serta masa depan negeri tercinta ini,” tegasnya mengakhiri kenyataan.