Oleh: Daud Hj Ibrahim
MEMBACA serangan bersiri dalam FreeMalaysiaToday hari ini bertajuk Bila Bersatu tak sependapat tukar pimpinan PN, apa pendirian PAS? oleh Nicholas Chung, saya menjadi semakin faham.
Dalam hidup saya, tiga perkara bersiri akan saya ingat sampai bila-bila.
Dulu, ada perogol bersiri, kemudian ada pembohong bersiri dan kini, serangan bersiri.
Modus operandinya sama, jurucakap (penganalisis) berbeza atas tujuan dan matlamat serupa.
Dalam tulisan saya sebelum ini, saya menyebut bahawa mereka akan ‘susun kerja buat’ ini sehingga mereka rasa puas atau ‘majikan’ mereka puas.
Suka atau tidak suka, mereka hidup bergaji.
Kalau kerja buat mereka tidak nampak ada, mana mungkin majikan mereka akan puashati dan macam mana nak mendatangkan pendapatan.
Spekulasi politik adalah perkara halal.
Sesiapa pun boleh menganalisis dan membuat spekulasi.
Tetapi membuat analisis disebabkan ikut suka hati emak tiri isteri bapa dia, adalah sesuatu yang perlu dibendung.
Kenapa saya kata begitu?
Sebab, saya juga mempunyai hak mempertahankan kebenaran dan mengempang siri-siri berikutnya daripada keresahan para penyokong parti.
Percayalah, selepas ini akan muncul lagi dua penganalisis, seperti sebelum ini, dengan membawa ‘gelaran’ di belakangnya dari pelbagai universiti, dengan bahan serupa yang diperbaharui selalu.
Kononnya (saya ulamm, kononnya), penganalisis melihat jelas wujud perpecahan dalam kalangan pemimpin Bersatu sama ada Muhyiddin Yassin patut kekal Presiden dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) – namun berbeza pandangan sejauh mana sokongan PAS terhadap Hamzah Zainuddin mengambil alih kepimpinan.
Mazlan Ali dari UTM, berkata PAS tidak menunjukkan komitmen jelas menyokong mana-mana pihak, manakala Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari USM berkata PAS cenderung sokong Hamzah, namun parti itu enggan menimbulkan ketengangan dengan Muhyiddin dan penyokong.
Bagi saya kedua-dua penganalisis ini hanya ‘bomoh ramalan’ yang bercakap bukan menggunakan ‘hasil kajian’ tetapi duduk di atas kerusi malas dari pejabat masing-masing.
Nantinya, mereka akan muncul dengan berfoto berlatar belakangan susunan buku yang banyak, bagi memperkuatkan anggapan orang yang melihatnya, pengetahuan mereka sama banyak dengan buku yang menjadi latar belakang foto mereka itu.
Mereka gagal mencari bahan hujahan dari #Bersatu, mereka gunakan hujah kononnya PAS lebih berminat kepada Hamzah tetapi enggan menyinggung Muhyiddin.
Kata salah seorang dari mereka, timbul pandangan yang makin berkembang dalam kalangan ahli Bersatu, sebenarnya atas keyakinan dia sendiri yang tidak melihat dengan kanta kebenaran membuat analisis.
‘Dalam Bersatu, wujud keyakinan sudah tiba masa untuk perubahan kepimpinan, membawa kepada usul Bersatu Port Dickson yang secara asasnya mencadangkan agar Hamzah mengambil alih jawatan presiden’, katanya.
Dia menggunakan perkataan ‘rasa’ dengan kata ‘Saya rasa akar umbi dan kepimpinan dalam PN khususnya Bersatu makin gelisah…’. Macam mana yang dikatakan bijak pandai, menganalisis sesuatu hal dengan ‘rasa’ dan bukan fikir?
Sepatutnya ayat itu berbunyi ‘saya fikir akar umbi dan kepimpinan….’. Nasib baik dia tak gunakan perkataan ‘saya raba’ sebab dia orang ni memejamkan mata apabila ditunjukkan kebenaran.
Biasanya rasa digunakan untuk menjamah makanan atau makan ubat.
Mana mahunya menganalisis politik dengan ‘saya rasa’.
Dia tak tahu bagaimana ‘rasanya’ kebenaran jika dia tidak mencarinya sebelum menulis dan berkata-kata.
Ayat seterusnya, Fauzi berkata, adalah jelas parti itu (PAS) sebenarnya menyokong Hamzah.
Dengan hujah yang cukup lemah, berpandangan, saya rasa, bagi saya, pendapat, kononnya Hadi Awang ‘bercakap atas kapasiti seorang rakan’ mengesahkan Mazlan Ali ‘memang memejamkan matanya’ supaya tidak melihat bukti yang sokongan PAS itu bertulis dan diserahkan kepada Muhyiddin.
Saya berharap pucuk pimpinan Bersatu tidak menjawab analisis ini kerana ‘analisis standard kaki lima’ biarlah dikumpulkan sekali dengan baja kompos bagi memberi udara segar kepada ahli-ahli di bawah.
Yang perlu dipertahankan ialah ‘ramalan nujum politik yang melihat Bersatu dari asap kemenyan yang dibakar’ untuk tujuan mengesahkan ‘mereka bomoh atau dukun’ yang sering dicari mereka yang ada masalah jiwa dan mental yang tak stabil.
