Oleh: Muhammad Khairi Zainol Abidin
Setahun sudah berlalu sejak kepimpinan baharu ARMADA BERSATU Malaysia mengambil alih tanggungjawab perjuangan anak muda parti ini. Bermula dengan hanya 108 bahagian pada awal penggal, kini 182 ARMADA bahagian berjaya ditubuhkan di seluruh negara, membuktikan semangat kebangkitan generasi muda terus menyala.
Walaupun BERSATU berada di blok pembangkang di peringkat persekutuan dan di beberapa buah negeri, program ARMADA di lapangan tetap rancak berjalan. Dari kampung ke kampus, ARMADA terus turun padang membuktikan bahawa semangat berkhidmat bukan hanya bila berkuasa sebaliknya naluri perjuangan anak muda.
Pertambahan ahli juga terus digiatkan di semua peringkat dari cawangan ke bahagian, negeri ke nasional dalam usaha memastikan kelangsungan perjuangan parti kekal utuh dan segar.
⸻
Melahirkan Pemimpin & Pemikir Muda
ARMADA kini semakin tersusun dengan pelbagai inisiatif latihan dan program pengkaderan.
Melalui Markas Latihan ARMADA di bawah Komander Markas Latihan ARMADA Malaysia, sebanyak 5 sesi latihan telah dijalankan termasuk satu Latihan Briged ARMADA, melibatkan lebih 150 peserta yang telah melalui modul perkaderan intensif.
Selain itu, program Fello Dewan Muda BERSATU yang dikendalikan oleh Pengarah Dewan Muda BERSATU sudah menjalankan 3 siri latihan, dengan 94 peserta mendapat peluang menjalani latihan amali bersama ahli-ahli Parlimen dan ADUN BERSATU.
⸻
Tegas Dalam Aksi & Strategi
Dalam arena politik dan strategi, Briged ARMADA kini memiliki seramai 65 anggota aktif dan telah menamatkan satu sesi latihan penuh serta beberapa siri tugasan lapangan termasuk tugasan dalam Himpunan Turun Anwar dan Persidangan Agung Tahunan BERSATU.
Briged ARMADA merupakan sebuah pasukan khas sayap pemuda BERSATU yang berfungsi dalam tugasan yang memerlukan kemahiran tertentu berkait kerja khidmat, pengurusan bencana, kawalan keselamatan dan kecemasan, serta lain-lain kerja kemasyarakatan.
⸻
Menjuarai Isu Rakyat & Mendepani Dunia Digital
ARMADA juga konsisten dalam medan komunikasi dan media. Di bawah pimpinan Ketua Penerangan ARMADA bersama Jabatan Komunikasi & Media Baharu, ARMADA terus lantang bersuara tentang isu rakyat melalui media arus perdana, platform rasmi media sosial serta portal Suara Kebangsaan.
Usaha ini menjadikan ARMADA bukan sahaja relevan, tetapi antara suara anak muda paling didengar dalam wacana politik negara.
Keterlihatan ARMADA dalam dunia digital juga meningkat dengan mendadak dengan konsistensi hantaran di saluran media sosial rasmi ARMADA, lain-lain saluran media sosial serta portal Suara Kebangsaan di bawah seliaan ARMADA yang kini merekodkan lebih 6 juta tontonan di TikTok dan 3.5 juta di Facebook dalam tempoh 10 bulan. Data ini membuktikan bahawa ARMADA semakin mendapat liputan di radar rakyat dan menjadi jenama politik muda yang diperhati.
Peranan pempengaruh ARMADA yang menyentuh perihal rakyat dan mengkritik polisi kerajaan secara tidak langsung juga menyumbang kepada keterlihatan ARMADA di kalangan masyarakat khusunya generasi muda.
⸻
Sedia Hadapi Pilihan Raya
Jabatan Pilihan Raya ARMADA kini diterajui oleh ADUN Seberang Jaya, seorang tokoh muda yang bukan sahaja memegang rekod menang pilihan raya pada usia muda, tetapi juga berpengalaman menjadi jentera kemenangan dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.
Beliau kini dalam peranan menyiap siaga peralatan, jentera dan bimbingan kepada ARMADA untuk membina kekuatan kepemudaan yang lebih tersusun dan bersedia menghadapi PRU akan datang.
⸻
Tawaran Membangun Generasi
ARMADA juga terus melangkah ke hadapan melalui penubuhan Majlis Perundingan Kebijakan ARMADA (MPKA) yang berperanan sebagai satu pasukan ‘think tank’ muda hasil inisiatif Ketua ARMADA Malaysia.
MPKA menghimpunkan keanggotaan anak muda profesional daripada pelbagai latar belakang penggiat akademik, pemain industri, teknologi, perkhidmatan awam dan korporat dalam usaha merangka solusi dan polisi baharu sebagai tawaran untuk generasi muda Malaysia.
⸻
Kepimpinan Berteraskan Nilai
Di bawah kepimpinan YB Hilman Idham yang lebih inklusif, ARMADA digerakkan berasaskan nilai, kompetensi dan semangat setia kawan. Setiap individu diberi ruang memainkan peranan mengikut kemampuan dan potensi. Tidak kira kedudukan di peringkat mana sekalipun, bukan semata-mata berdasarkan jawatan, selagi anda mahu menyumbang dan mampu berperanan, anda dialu-alukan.
Melalui kepimpinan yang pragmatik, tersusun dan berdisiplin, ARMADA kini sedang memacu kepimpinan. Dari lapangan perjuangan ke ruang dasar, dari suara anak muda ke barisan kepimpinan.
Kita bukan lagi pemimpin masa hadapan, kita pemimpin masa kini.
